Pengguna jalan lama Miri-Bintulu dinasihat menggunakan jalan alternatif buat sementara waktu iaitu di jalan pesisir Miri-Bintulu berikutan kejadian tanah runtuh yang berlaku di Kilometer 22 Jalan Miri-Bintulu petang Khamis.

Ketua Bomba dan Penyelamat Miri Law Poh Kiong berkata tanah runtuh itu berlaku di laluan Bintulu ke Miri iaitu tidak jauh dari Lambir dan pengguna dinasihatkan supaya berhati-hati apabila melalui kawasan itu.

"Bomba menerima panggilan pada 3.55 petang mengenai kejadian itu dan setakat ini, tiada kemalangan berlaku," katanya di sini pada Khamis.

Law berkata pasukan bomba, polis dan pegawai dari Jabatan Kerja Raya (JKR) berada di lokasi kejadian bagi mengawal dan memantau keadaan serta melihat kerosakan akibat tanah runtuh itu.

Sementara itu, JKR Miri dalam kenyataan berkata Lebuhraya Borneo Utara (LBU) yang bertanggungjawab terhadap projek Lebuh Raya Pan Borneo telah diarahkan untuk meletakkan tanda amaran untuk pengguna jalan raya.

Katanya jalan itu telah diserahkan kepada LBU untuk pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo dan punca tanah runtuh disebabkan oleh hujan lebat di Miri baru-baru ini.

"Tindakan segera perlu diambil termasuk pengurusan trafik dan melebarkan bahu jalan untuk pengguna melaluinya," kata JKR.

Tanah runtuh itu juga menjejaskan saluran paip utama untuk bekalan air ke Bekenu dan usaha sedang dijalankan bagi membantu penduduk yang terjejas dengan gangguan bekalan air itu.

"Tangki air akan dihantar kepada orang ramai," kata kenyataan itu.

-- BERNAMA