SIBU: Seorang wanita warga Filipina dan seorang kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) maut dalam kebakaran melibatkan dua rumah teres di Fortune Park, Bintulu awal pagi Sabtu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, wanita itu dikenali sebagai Marites, berusia 40 tahun manakala identiti dan jantina kanak-kanak terbabit belum dikenal pasti.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa ditemukan rentung dalam sebuah bilik di tingkat atas rumah pertama yang terbakar 100 peratus.

"Mayat diserahkan kepada polis dan pihak Kementerian Kesihatan untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, terdahulu, pihaknya menerima maklumat kejadian pada 4.05 pagi dan 16 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu digegaskan ke lokasi.

Kejadian katanya turut menjejaskan 10 penghuni lain, namun punca dan anggaran kerugian sedang disiasat.

-- BERNAMA