KUALA LUMPUR: Usaha membanteras penipuan perlu menumpukan kepada memutuskan rangkaian akaun keldai sebagai saluran utama sindiket memindahkan dana haram, kata Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Dr Raymon Ram.
Ketika bercakap pada meja bulat media anjuran Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) bersempena dengan Persidangan Antarabangsa ke-16 mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan (IFCTF) 2026, beliau berkata TI-M kini menemu bual banduan yang telah disabitkan kesalahan, bagi memahami proses perekrutan pemegang akaun keldai, sebab terbabit serta faktor mempengaruhi keputusan mereka.
“Kami menemu bual mereka bagi memahami bagaimana dan mengapa mereka direkrut sebagai pemegang akaun keldai dan kami akan menerbitkan kertas penyelidikan tidak lama lagi kerana saya percaya itulah punca utama masalah ini,” katanya.
Raymon yang juga rakan pengurusan utama Graymatter Forensic Advisory berkata tidak semua pemegang akaun keldai menyedari akaun mereka digunakan sindiket jenayah, dengan pelajar antara golongan yang berpotensi diperdaya menerusi tawaran pekerjaan yang kelihatan sah.
“Tidak semua pemilik akaun keldai tahu bahawa mereka, akaun keldai,” katanya sambil menambah ramai tertarik dengan insentif yang ditawarkan tanpa memahami sepenuhnya akibat membenarkan akaun mereka digunakan.
Beliau berkata sesetengah pelajar ditawarkan pekerjaan yang memerlukan mereka membuka akaun bank atau membenarkan akaun digunakan bagi urusan transaksi, tanpa memahami sepenuhnya implikasi jenayah terbabit.
“Usaha meningkatkan kesedaran perlu lebih menyasarkan kumpulan yang terdedah kepada perekrutan, termasuk pelajar dan suri rumah dan bukan hanya bergantung kepada kempen antipenipuan secara umum,” katanya.
Raymon berkata akaun keldai bukan sahaja melibatkan individu, malah akaun syarikat turut berpotensi dieksploitasi untuk memudahkan transaksi bernilai besar, sama ada dengan pengetahuan atau tanpa pengetahuan pemiliknya.
Beliau berkata teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) boleh membantu mengesan akaun keldai, namun usaha menanganinya juga perlu memberi tumpuan kepada proses perekrutan dan faktor yang mendorong individu terbabit.
Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Confide Platform Pav Gill berkata Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, masih mempunyai kelemahan asas dan perlu ditambah baik bagi memperkukuh perlindungan terhadap pemberi maklumat.
Beliau berkata penekanan lebih besar perlu diberikan kepada akauntabiliti korporat, khususnya dalam meneliti proses membuat keputusan dan tindakan terhadap tanda amaran yang dikenal pasti.
Pav, yang merupakan pemberi maklumat dalam kes Wirecard berkata antara kelemahan asas ialah pemberi maklumat berpotensi kehilangan perlindungan, sekiranya mereka terlebih dahulu menyalurkan kebimbangan melalui saluran dalaman syarikat dan bukannya terus melaporkan kepada agensi penguatkuasaan.
“Saya fikir syarikat perlu diberi peluang untuk menyelesaikan masalah terlebih dahulu sebelum perkara itu dilaporkan kepada agensi penguatkuasaan. Jadi, itu satu kelemahan asas. Mekanisme pelaporan dalaman yang lebih kukuh boleh membantu syarikat menangani salah laku lebih awal, di samping memastikan pemberi maklumat mendapat perlindungan sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata Malaysia boleh mengambil iktibar daripada pendekatan negara lain termasuk Jepun dan Kesatuan Eropah, selain memperkukuh perlindungan serta insentif bagi menggalakkan lebih ramai tampil memberikan maklumat.
Pav turut mencadangkan langkah pencegahan lebih tegas dipertimbangkan, termasuk hukuman lebih berat seperti pelaksanaan hukuman sebat di Singapura, yang menurutnya berpotensi memberi kesan pencegahan terhadap kegiatan jenayah.
Turut mengambil bahagian dalam meja bulat itu, Ketua Pegawai Eksekutif AICB Edward Ling, Pakar Pencegahan Jenayah Dr Shamir Rajadurai serta Penasihat Industri Pematuhan dan Jenayah Kewangan Asia Pasifik (APAC) di SymphonyAI Singapore Martin Smith.
Sesi itu dikendalikan oleh penyampai, wartawan dan editor Astro Awani Luqman Hariz.
-- BERNAMA