KAHERAH: Bulan Sabit Merah Mesir pada Selasa menghantar konvoi bantuan kemanusiaan baharu ke Semenanjung Gaza membawa lebih 2,653 tan bekalan, ketika angka korban terus meningkat di wilayah itu meskipun gencatan senjata masih berkuat kuasa, lapor Xinhua.
Konvoi itu membawa bakul makanan, tepung, bekalan bantuan dan perubatan serta produk petroleum yang diperlukan untuk operasi hospital dan kemudahan penting lain di Gaza, menurut Bulan Sabit Merah Mesir dalam kenyataan.
Ia merupakan konvoi ke-290 yang dihantar dari Mesir ke Gaza sejak Bulan Sabit Merah Mesir melancarkan inisiatif bantuan kemanusiaan untuk Gaza pada akhir Julai 2025, menurut kenyataan itu.
Jumlah keseluruhan bantuan kemanusiaan dan bekalan bantuan yang dihantar dari Mesir ke Gaza sejak krisis bermula pada Oktober 2023 melebihi satu juta tan, hasil usaha lebih 75,000 sukarelawan.
Pihak berkuasa kesihatan Gaza dalam perkembangan harian terbaharu pada Isnin memaklumkan sekurang-kurangnya 1,460 rakyat Palestin terkorban sejak gencatan senjata Israel-Hamas berkuat kuasa pada 10 Okt tahun lepas, termasuk 111 orang pada September.
Jumlah keseluruhan rakyat Palestin yang terkorban sejak konflik bermula melebihi 74,000 orang, manakala lebih 175,000 lagi cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan.
-- BERNAMA-XINHUA