KUALA LUMPUR: Pemerkasaan institusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu dilakukan dalam usaha mengekang amalan rasuah di Malaysia.

Justeru, Pensyarah di Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM), Profesor Shakila Yacob mencadangkan empat perkara dalam melaksanakan perkara itu.

Pertama, katanya, pembaharuan undang-undang bagi memastikan jawatan Ketua Pesuruhjaya dilantik oleh Parlimen selain pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan pendakwaraya.

"Ini kita lihat di United Kingdom (UK), mereka lakukan sedemikian dan ia lebih objektif yang mana tidak ada pertembungan antara Peguam Negara dan pendakwaraya kerana ada pengasingan.

"Bagi saya perkara ini amat perlu terutama sekali bagi menangani kes-kes berprofil tinggi, di mana ada kecenderungan untuk berlaku konflik kepentingan," katanya kepada Astro AWANI pada Isnin.

BACA: 51 peratus responden setuju amalan rasuah di Malaysia satu budaya - Kajian UM

Shakila yang merupakan salah seorang panel yang terlibat dalam laporan "Voices From The Ground: The Corruption Complex In Malaysia" menambah, aspek kedua ialah sumber manusia atau modal insan yang berkhidmat di SPRM.

Jelas beliau, kakitangan SPRM perlu disemak semula dengan melantik individu yang berkelayakan, berpendidikan tinggi serta mempunyai nilai integriti yang kukuh.

"Mungkin juga dari segi kakitangan, pihak SPRM memerlukan lebih ramai dalam organisasi mereka bagi menangani isu rasuah.

"Perkara yang ketiga pula, harus ada bajet yang secukupnya. Kalau kita bertanya kepada pihak SPRM semasa kami melakukan kajian ini, memang mereka menyatakan bahawa bajet yang diterima tidak cukup.

"Ini kerana, isu rasuah adalah satu isu yang sangat besar dan meninggalkan impak kepada imej negara, keselamatan, serta pertumbuhan ekonomi. Jadi peruntukan bajet juga harus disemak semula," ujarnya.

Sementara itu, aspek keempat ialah melibatkan pindaan Perlembagaan dan undang-undang.

"Rata-rata rakyat Malaysia hanya melihat kepada SPRM sebagai satu-satunya badan untuk mencegah rasuah tetapi sebenarnya tidak.

"Sistem keadilan jenayah ini harus kita lihat secara lebih menyeluruh, baik dari segi penguatkuasaan, pendakwaan, dan kehakiman. Ketiga-tiga aspek ini kita tidak boleh pisahkan bagi memastikan agenda rasuah dapat ditangani dengan berkesan," tambah beliau lagi.

Ditanya mengenai keyakinan terhadap SPRM, Shakila mengakui, wujud krisis keyakinan terhadap badan pencegahan itu susulan kewujudan persepsi dalam kalangan masyarakat.

Justeru, beliau berpendapat, langkah-langkah holistik perlu dilakukan untuk mengembalikan semula keyakinan tersebut. 

Katanya, semua pihak termasuk kerajaan dan masyarakat perlu bersatu dalam mencegah rasuah, selain pemberi maklumat berkaitan rasuah harus mendapat perlindungan sewajarnya.

"Kita ada undang-undang Akta 711, iaitu Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 tetapi akta ini tidak dikuat kuasa. Kita harus memelihara mereka yang mendedahkan isu-isu rasuah, dan kita juga harus ada akta yang jitu mengenai sumbangan politik.

"Ahli-ahli politik juga harus serius dalam mengiytihar harta mereka dan sekiranya semua ahli politik berbuat demikian, ini juga boleh mengembalikan keyakinan rakyat.

"Selain itu, peranan media seperti kewartawanan bersifat penyiasatan patut kita galakkan kerana ini menyemarakkan kebebasan dan bagus untuk didebatkan," ujarnya.