CHANGLUN: Tanggapan bahawa budaya buli dapat merapatkan hubungan antara pelajar senior dan junior khususnya di asrama sekolah perlu dikikis bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Ketua Polis Kedah Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata tanggapan yang diwarisi sama ada di sekolah mahupun universiti sejak sekian lama itu berikutan pelajar senior berharap pelajar junior dapat menunjukkan rasa hormat dengan mengikut segala arahan diberikan.

"Selalunya, kes buli di asrama melibatkan pelajar senior dan junior. Pelajar senior rasa mereka perlu dihormati kerana mereka lebih lama berada di situ dan ada yang maklumkan bahawa itu satu daripada cara untuk akrabkan hubungan antara mereka.

"Betul, budaya buli ini memang sudah lama ada tetapi cara dahulu dengan sekarang lain. Cara buli sekarang ada melibatkan elemen jenayah sehingga menyebabkan kecederaan dan kecacatan dan itu yang tidak sepatutnya berlaku," katanya selepas melancarkan program 'Sekolahku Sejahtera' dan 'Portal Aduan Buli' di Sekolah Kebangsaan Dato' Wan Kemara di sini hari ini.

Beliau berkata selain budaya buli, pelbagai aktiviti boleh dilakukan bagi merapatkan hubungan pelajar senior dan junior.

Dalam pada itu, Wan Hassan berharap ibu bapa dan pelajar menggunakan 'Portal Aduan Buli' itu untuk melaporkan sebarang kes melibatkan budaya buli bagi membolehkan tindakan diambil sama ada di peringkat kementerian mahupun polis.

"Dalam tempoh dua tahun lepas, empat kes buli dilaporkan dan setakat tahun ini hanya ada satu kes sahaja di Kedah. Kes buli ini sebenarnya ada berlaku di mana-mana tetapi tidak dilaporkan kerana pihak yang terlibat tidak mahu memperbesar keadaan selain cuba menyelesaikan sendiri.

"Dengan adanya portal ini, mereka boleh terus melaporkan kes buli yang berlaku tetapi saya harap kes itu (buli) dapat dikurangkan, kalau boleh tiada langsung kes buli di Kedah selepas ini," katanya.

Pada 13 Ogos lepas, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin memaklumkan Kementerian Pendidikan akan menyediakan portal aduan buli sebagai usaha menambah baik pendekatan memerangi kes buli di sekolah.

-- BERNAMA