KUALA LUMPUR: Kerajaan diingatkan supaya tidak tergesa-gesa menaikkan bayaran perkhidmatan kesihatan di hospital dan klinik kerajaan kerana ia akan menambahkan lagi beban rakyat yang sedang berdepan tekanan kos sara hidup.

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagi meringankan beban rakyat, kerajaan disaran mengecualikan golongan berpendapatan rendah (B40) daripada dikenakan caj perkhidmatan kesihatan.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata beliau memahami keadaan kerajaan yang berdepan masalah kekangan fiskal yang agak meruncing, dan memerlukan sumber lain untuk menampung perbelanjaan termasuk mengenakan bayaran tertentu bagi perkhidmatan yang disediakan kepada rakyat.

"Pada masa ini rakyat sedang menanggung sengsara akibat kenaikan harga barangan keperluan harian, kenaikan kadar inflasi, kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan terbaru ialah kenaikan tarif elektrik.

"Untuk meringankan beban rakyat, kerajaan boleh mengecualikan golongan B40 daripada dikenakan bayaran.

"Tetapi kita tahu melalui kajian-kajian yang dibuat ramai mereka yang tidak tergolong dalam kelompok B40 telah pun jatuh miskin akibat kenaikan kos sara hidup yang mendadak," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Kertas Putih Kesihatan yang dibentangkan oleh Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa hari ini.

Sebelum ini, Astro AWANI melaporkan skim pembiayaan kesihatan termasuk caj RM1 yang dikenakan di klinik kerajaan menjadi antara kandungan utama Kertas Putih Kesihatan.

Zaliha berkata setakat ini caj berkenaan masih dikekalkan, bagaimanapun pihaknya akan melihat secara pragmatik selepas Kertas Putih Kesihatan dibentang di Parlimen.

Membahaskan lagi, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata berdasarkan beberapa kajian termasuk oleh Merdeka Center baru-baru ini, mendapati majoriti rakyat merasakan kedudukan kewangan peribadi mereka pada tahun ini lebih teruk berbanding tahun lalu.

"Dapatan ini tidak terhad kepada golongan B40 sahaja.

"Jadi jika ada cadangan daripada kerajaan untuk menaikkan kadar bayaran rawatan dan kesihatan, saya minta supaya ianya ditangguhkan dahulu dan diteliti semula," ujarnya lagi.

Selain aspek pembiayaan kesihatan, Muhyiddin ketika sesi perbahasan berkenaan antaranya menyentuh mengenai pemerkasaan sektor penjagaan profesional dan kesihatan mental serta kesihatan golongan rentan.

Beliau menghargai cadangan kerajaan untuk meningkatkan pembiayaan kesihatan daripada pelbagai sumber termasuk kerajaan, perseorangan dan syarikat di bawah pengurusan awam secara berperingkat kepada lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Cadangan ini merupakan salah satu perkara yang terkandung dalam manifesto Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15.

"Namun seperti mana yang dinyatakan dalam Kertas Putih Kesihatan ini, sebahagian besar daripada perbelanjaan kesihatan di negara kita ditanggung oleh kerajaan," tambah Muhyiddin.