IPOH: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak menjelaskan penangkapan atau pemindahan harimau belang ke sesuatu lokasi, hanya akan dilaksanakan sekiranya hasil penilaian menunjukkan kehadiran spesies itu mengancam keselamatan awam.
Pengarahnya, Dr Pazil Abdul Patah berkata, penilaian tersebut, dibuat secara teliti dengan menilai keseluruhan keadaan serta tahap risiko yang berlaku di sesuatu lokasi kejadian.
“Antara penanda aras utama yang dinilai merangkumi tingkah laku harimau, kekerapan dan tempoh kehadiran, jarak dengan kawasan perumahan, corak pergerakan, serta bukti interaksi atau serangan terhadap manusia dan ternakan.
“Sekiranya hasil penilaian menunjukkan wujud ancaman yang nyata dan berterusan terhadap keselamatan manusia, Perhilitan akan mengambil tindakan bersesuaian mengikut penilaian teknikal di lapangan,” katanya kepada Bernama.
Sepanjang tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, sebanyak lima kali kehadiran spesies pemangsa itu direkodkan di Perak bermula dengan laporan ngauman di Proton City, Tanjung Malim pada 10 Jan, diikuti rakaman imej di Bukit Bangkong, Chemor pada 14 Julai, serta tangkapan seekor harimau betina di Hulu Kinta pada 22 Julai.
Kejadian seterusnya melibatkan serangan maut di Pos Perwor, Sungai Siput pada 21 Sept, sebelum penemuan kesan tapak kaki pemangsa tersebut dikesan di Kem Sultan Nazrin Shah 69 Komando, Ulu Kinta pada 29 Sept.
Mengulas mengenai kemunculan haiwan pemangsa dikenali dengan nama saintifik Panthera Tigris Jacksoni itu berhampiran penempatan penduduk, Pazil menegaskan, keadaan berkenaan tidak semestinya menunjukkan ruang rayau atau habitat asal harimau di dalam hutan semakin terhad.
Sebalinya, beliau berkata, ia turut dipengaruhi faktor ketersediaan mangsa, keadaan habitat, gangguan manusia, aktiviti pembangunan atau guna tanah di sekitar habitat serta pergerakan semula jadi haiwan berkenaan.
“Dalam sesetengah keadaan, harimau boleh bergerak melalui kawasan pinggir hutan atau koridor ekologi dalam lingkungan kawasan jelajahnya dan secara tidak sengaja dikesan berhampiran kawasan manusia," katanya.
Mengenai ketersediaan spesies mangsa seperti kijang, rusa dan babi hutan di hutan simpan utama negeri, Pazil berkata, pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan berterusan kerana ia merupakan faktor penting yang mempengaruhi pergerakan serta kelangsungan populasi harimau.
Beliau berkata, tahap kecukupan sumber mangsa perlu dibuat berdasarkan data pemantauan yang dikumpulkan secara sistematik seperti hasil kamera perangkap, tinjauan lapangan, serta maklumat berkaitan populasi dan taburan spesies mangsa.
Bagi mengendalikan aduan berhubung kehadiran pemangsa tersebut di sesuatu lokasi, Pazil berkata Perhilitan Perak mengumpul maklumat awal berkaitan lokasi, masa, bukti fizikal, dan situasi semasa bagi menentukan keutamaan serta pengagihan anggota yang bersesuaian.
“Sekiranya aduan yang diterima menunjukkan risiko terhadap keselamatan awam, pasukan kawalan digerakkan ke lapangan bagi menjalankan pemeriksaan dan pemantauan serta koordinasi bersama agensi berkaitan jika memerlukan tindakan lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, selain tindakan fizikal seperti memasang perangkap, pihaknya juga mengemukakan syor teknikal yang bersesuaian serta nasihat keselamatan bagi membantu penduduk mengambil langkah berjaga-jaga.
“Ini termasuk menasihatkan penduduk di kawasan berisiko supaya mengelakkan aktiviti bersendirian pada awal pagi atau lewat petang, tidak melakukan provokasi, serta tidak bertindak sendiri sebaliknya menyerahkan pengendalian sepenuhnya kepada Perhilitan,” katanya.
-- BERNAMA