Kejayaan sesebuah kerajaan tidak akan bermakna sekiranya negara tidak selamat dan aman, kata Ketua Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau berkata dengan keselamatan terjamin, yang tentunya ditunjangi pasukan dan agensi keselamatan negara, setiap kejayaan dan pembangunan yang dibawa kerajaan akan lebih ternilai maknanya kepada rakyat.

"Sebab itu, kami Wanita UMNO dan seluruh rakyat sentiasa menghargai jasa pasukan beruniform dalam memastikan keselamatan negara dan pengorbanan itu harus diberikan penghargaan yang sewajarnya oleh semua pihak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jalinan Ramadan 2016 bersama dengan 1,000 wakil anggota pasukan-pasukan keselamatan di Kompleks Perbadanan Putrajaya di sini pada Khamis.

Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, Panglima Tentera Darat Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim, Panglima Tentera Laut Malaysia Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Laksaman Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar, Ketua Pengarah Penjara Datuk Seri Zulkifli Omar.

Shahrizat berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) saban tahun memperkenalkan pelbagai insentif untuk memenuhi keperluan anggota pasukan beruniform dan menambah baik kemudahan dalam menjaga kebajikan mereka.

Pada majlis itu, Shahrizat menyampaikan 7,500 bungkusan berupa kuih raya, kain pelikat dan batik serta sumbangan untuk anggota yang bertugas semasa sambutan Aidilfitri.

Beliau berkata majlis penyampaian sumbangan sempena Aidilfitri yang diadakan sejak lapan tahun lalu merupakan tradisi Wanita UMNO untuk mengucapkan terima kasih secara simbolik kepada pasukan keselamatan dan keluarga mereka.