KUALA LUMPUR: Tarif air bagi akaun domestik di Semenanjung dan Labuan dijangka akan meningkat tahun hadapan, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, (NRECC) Nik Nazmi Nik Ahmad.

"Kita dalam proses nak membawa ke Kabinet minggu hadapan tentang tariff setting mechanism untuk air. Jadi ini akan melibatkan operator air di Semenanjung dan Labuan.

"... dan kita menjangkakan akan ada peningkatan, terutamanya bagi akaun domestik yang sudah tidak naik begitu lama,” katanya.

Nik Nazmi berkata, penetapan mekanisme baharu itu dijangka akan menambah hasil kutipan yang akan digunakan untuk mengatasi masalah air tidak terhasil (NRW), selain meningkatkan infrastruktur bekalan air.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan akan meneruskan Mekanisme Pelepasan Kos-Kos Tidak Seimbang (ICPT) bagi bekalan elektrik untuk tahun hadapan.

Ahli Parlimen Setiawangsa itu berkata, mekanisme terusebut akan diteruskan sehingga kerajaan mempunyai maklumat yang terperinci tentang pendapatan isi rumah melalui sistem Pangkalan Data Utama (Padu).

“Dalam soal bekalan elektrik kita teruskan sehingga sistem database Padu ada maklumat yang lebih terperinci tentang pendapatan isi rumah, sementara itu kita teruskan sasaran subsidi melalui mekanisme ICPT untuk elektrik.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Sustainability Achieved via Energy Efficiency (SAVE) 4.0, sempena carnival Setahun Bersama Kerajaan Malaysia Madani di Bukit Jalil, pada Ahad.

Melalui program tersebut, Nik Nazmi berkata, Sustainable Energy Development Authority (SEDA) Malaysia sebagai agensi pelaksana, akan menyediakan pemberian e-rebat sehingga RM400 kepada pengguna untuk pembelian penyaman udara dan peti sejuk cekap tenaga berlabel.

Sementara itu dalam kenyataan susulan, beliau berkata, Program SAVE 4.0 dibiayai oleh Dana Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE) dengan jumlah peruntukan sebanyak RM50 juta.

Rebat adalah terhad kepada satu akaun bil elektrik sahaja bagi setiap pembelian penyaman udara dan peti sejuk, bagi pembelian bermula pada 10 Disember 2023 secara first come, first serve basis.

Pelaksanaan Program SAVE 4.0 bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai pengguna elektrik mempraktikkan amalan cekap tenaga sekali gus menyumbang kepada penjimatan penggunaan tenaga dan bil elektrik.

“Berdasarkan pelaksanaan edisi terdahulu program SAVE, jumlah penjimatan tenaga yang diperoleh adalah sebanyak 324 Gigawatt jam (GWj) iaitu bersamaan dengan penjimatan kos tenaga setahun sebanyak RM129.4 juta dan 281,000 tan CO2 setahun,” katanya lagi.

Maklumat lanjut mengenai kriteria kelayakan, cara permohonan e-rebat, mekanisme pelaksanaan, senarai jenama dan model kelengkapan elektrik cekap tenaga serta harga rujukan (Recommended Purchase Price - RPP) di bawah Program SAVE 4.0 boleh didapati dengan melayari laman sesawang rasmi di pautan www.saveenergy.gov.my.