JOHOR BAHRU: Syarikat pengendali air di negeri ini, Ranhill SAJ akan melaksanakan pelarasan tarif air baharu bagi kategori domestik bermula 1 Feb ini sepertimana yang diputuskan kerajaan Persekutuan baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ Muhamad Faizal Aliar berkata dengan pelarasan tarif baharu itu, pengguna kategori tersebut dijangka mengalami perubahan dalam bil air bulanan mereka bergantung kepada cara penggunaan air masing-masing.

Dalam satu kenyataan malam ini, beliau berkata kali terakhir pelarasan tarif air di Johor ialah pada 2015.

Menurutnya struktur kadar baharu bagi penggunaan domestik (meter individu) daripada 0 meter padu hingga 20 meter padu ialah RM1.05 satu meter padu berbanding daripada 80 sen sebelum ini, manakala bagi penggunaan 20 meter padu sehingga 35 meter berubah daripada RM2 kepada RM2.35 satu meter padu.

"Bagi penggunaan air melebihi 35 meter padu pula, berubah daripada RM3 kepada RM3.15 satu meter padu, manakala kadar minimum bagi setiap kategori domestik (meter individu) berubah daripada RM7 kepada RM10.50," katanya.

Beliau berkata untuk kategori domestik (meter pukal) pula, kadar rata berubah daripada RM1.60 kepada RM2.55, dengan kadar minimum bagi kategori domestik (meter pukal) juga mengalami perubahan daripada RM16 kepada RM25.50.

Muhammad Faizal berkata pelarasan tarif air yang baharu itu dijangka memberi kesan positif kepada Ranhill SAJ khususnya bagi meneruskan inisiatif seperti penggantian paip lama dan projek menaik taraf sistem bekalan air di negeri ini.

Selain itu, katanya ia turut membantu memperluaskan pemberian rebat air sebanyak 25 meter padu kepada penerima bantuan e-kasih di samping meningkatkan mutu perkhidmatan dan menampung kenaikan kos operasi yang meningkat setiap tahun, sebagai pembuktian nilai tarif air ini dikembalikan kepada pengguna.

-- BERNAMA