SHAH ALAM: Kecekapan pengurusan dan pengoperasian setiap operator bekalan air perlu dikaji dengan lebih mendalam sebelum sebarang keputusan kenaikan tarif air dilakukan.

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Wee Jeck Seng berkata, bekalan air bersih dan berterusan kepada rakyat bukan suatu perniagaan, tetapi tanggungjawab dan misi kerajaan.

Justeru menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu campur tangan segera dalam isu tersebut.

"Janganlah kerana ketidakcekapan atau kegagalan sesetengah operator, rakyat pula dihukum dengan mengenakan tarif air yang lebih tinggi.

"Sekiranya tiada anggota SPAN (Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara) yang sanggup menggalas tanggungjawab ini, saya menyeru kepada Perdana Menteri supaya segera menukar serta menyusun semula seluruh suruhanjaya tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada Rabu, SPAN mengumumkan pelarasan tarif air akan dilaksanakan di bawah Mekanisme Penetapan Tarif bagi pengguna kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan berkuat kuasa mulai 1 Februari ini.

Menurut SPAN, pelarasan tarif air domestik melibatkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu dan kenaikan itu disifatkan masih rendah dan tidak dapat menampung kos sebenar penyediaan perkhidmatan bekalan air sebanyak RM1.75 bagi setiap meter padu berdasarkan rekod sebenar 2022.

Menerusi pelarasan tersebut, operator bekalan air akan lebih sanggup melabur dalam pembangunan infrastruktur asas pembekalan air, seperti membina atau menaik taraf loji rawatan air, menukar ganti paip usang, menjalankan pemeliharaan berskala, menangani aduan dengan lebih efektif dan sebagainya, bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan bekalan air.

Mengulas lanjut, Jeck Seng berkata, alasan yang diberikan adalah tidak logik dan bertentangan dengan misi yang perlu dilaksanakan agensi tersebut.

"Negara mengamanahkan misi pembekalan air kepada operator bekalan air, tetapi mereka sebaliknya mahu menunggu tarif air dinaikkan sebelum sanggup melabur dalam pembangunan infrastruktur asas pembekalan air, maka operator begini hendaklah ditukar ganti," katanya.

Beliau turut mempersoalkan kewajaran pengguna membayar harga kegagalan operasi bekalan air di kawasan masing-masing.

"Kawasan di sekeliling ibu kota pun selalu menghadapi gangguan bekalan air, malah sebahagian rakyat di Pantai Timur terpaksa memasang alat penapis dengan perbelanjaan sendiri bagi mendapatkan air bersih. Adakah patut rakyat membayar harga kegagalan operator bekalan air di kawasan-kawasan ini?

"Sekiranya alasan SPAN menaikkan tarif dapat diterima, adakah rakyat di kawasan-kawasan tersebut akan diberikan pampasan atau diskaun dalam bil mereka," soalnya.

- Sinar Harian