KOTA BHARU: Tarif elektrik akan dikaji dengan teliti sebelum semakan dibuat bagi mengelakkan bebanan kepada rakyat yang berdepan dengan cabaran pada waktu ini.

Itu janji Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang turut memaklumkan, dalam rangka mempertingkatkan kuota yang perlu bagi meningkatkan mutu perkhidmatan, ianya tidak menyebabkan kenaikan tarif elektrik.

"Pertama sekali, tenaga mencukupi dan keduanya, kadar pembayaran yang perlu dibuat ini berkaitan tarif eletrik tidak membebankan rakyat, ini dasar Kerajaan Prihatin.

"Oleh sebab itu kita akan cuba sebaik mungkin dalam rangka kita mempertingkatkan kuota perlu untuk beri perhidmatan bermutu dan ianya tidak melibatkan peningkatan tarif.

"Saya sedang cuba sekurang-kurangnya dalam masa ini supaya tidak membebankan rakyat dan saya memberi jaminan tarif elektrik akan dikaji dengan teliti sebelum ada apa-apa semakan," katanya.

Beliau berkata sebagai sebuah badan korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), soal perniagaan merupakan teras utama Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Namun TNB perlu mencari jalan untuk mengimbangi antara perkhidmatan dan perniagaan walaupun TNB mempunyai hak untuk membuat semakan dalam tempoh tempoh tertentu.

Mengulas mengenai Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), kementeriannya juga turut menyediakan pelan jangka panjang dan pendek.

Antaranya memastikan bekalan tenaga negara mencukupi termasuk sumber tenaga boleh diperbaharui.