NATIONAL
Tarif Trump: Peraturan WTO benarkan Malaysia untuk bertindak balas - Pemuda UMNO

Awal hari ini, AS telah mengenakan tarif timbal balik 24 peratus ke atas import dari Malaysia dalam gelombang perang perdagangan global. - Reuters
KUALA LUMPUR: Malaysia tidak mengambil mudah atau terlalu lembut dengan tindakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang mengenakan tarif timbal balik 24 peratus ke atas import dari negara ini.
Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia Hafiz Ariffin berkata, Malaysia mempunyai hak penuh untuk bertindak balas, selari dengan peraturan dan perundangan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
Tegasnya lagi, tindakan unilateral itu bukan sahaja tidak adil, malah mencerminkan sikap proteksionis melampau yang bercanggah dengan semangat perdagangan bebas dan kerjasama serantau.
“Ia memberi kesan langsung kepada industri strategik negara seperti elektronik, tekstil dan minyak sawit.“Ia juga mencerminkan sikap tidak menghormati hubungan diplomatik dan perdagangan dua hala yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.
“Malaysia bukan rakan dagang yang baru muncul — kita adalah rakan strategik lama yang konsisten, komited dan konstruktif kepada pertumbuhan ekonomi serantau dan global,” katanya lagi.
Awal hari ini, AS telah mengenakan tarif timbal balik 24 peratus ke atas import dari Malaysia dalam gelombang perang perdagangan global.
Trump pada Rabu mengumumkan gelombang tarif baharu yang belum pernah terjadi sebelum ini ke atas import dari semua negara yang berdagang dengan AS.
Antara tarif timbal balik yang tinggi dikenakan terhadap China sebanyak 34 peratus, Kesatuan Eropah 20 peratus, Vietnam 46 peratus, Sri Lanka 44 peratus, Kemboja 49 peratus, Laos 48 peratus dan Myanmar 44 peratus.
Kerajaan Malaysia pula tidak bercadang mengenakan tarif balas sebagai langkah mempertahankan prinsip perdagangan bebas dan adil.
Namun, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan susulan berkata, pihaknya memandang serius tindakan AS dan kini giat berunding dengan pihak berkuasa negara itu bagi mencari penyelesaian.
Di bawah peraturan WTO, Malaysia mempunyai beberapa hak dan pilihan untuk menangani tarif timbal balik yang dikenakan oleh AS, antaranya mengemukakan aduan kepada Badan Penyelesaian Pertikaian (DSB) WTO jika percaya bahawa tarif tersebut melanggar peraturan WTO.
Selain itu, ahli WTO, termasuk Malaysia, mempunyai kadar tarif yang terikat yang tidak boleh dilebihi tanpa rundingan semula.
Jika tarif AS melebihi kadar terikat ini, Malaysia boleh mencabarnya di bawah Artikel II Perjanjian Am mengenai Tarif dan Perdagangan (GATT) 1994.
Dalam pada itu Hafiz berkata, jika rundingan tidak berkesan, tindakan tegas dan bermaruah mesti diambil untuk mempertahankan kepentingan nasional dan maruah negara.
“Malaysia tidak boleh dilayan sebagai negara kelas kedua dalam perdagangan antarabangsa. Malaysia negara berdaulat. Kita bersahabat dengan hormat, bukan tunduk tanpa syarat,” tegasnya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami