NATIONAL
Tarif Trump: Sidang khas Parlimen 5 Mei depan

Anwar hadir pada Sambutan Aidilfitri Madani 2025 Jabatan Perdana Menteri di Puspanitapuri, Putrajaya, hari ini. - -fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Sidang khas Dewan Rakyat akan diadakan pada 5 Mei depan bagi membincangkan isu tarif timbal balas yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadap negara ini.
Perkara itu disahkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
"Ada. Iya (5 Mei)," katanya ringkas ketika ditemui pemberita di Majlis Sambutan Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.Terdahulu, Sin Chew Daily menerusi sumbernya melaporkan pejabat Perdana Menteri telah mengeluarkan pemberitahuan berkaitan perkara tersebut.
Beberapa ahli Parlimen memaklumkan mereka masih belum menerima sebarang surat pemberitahuan rasmi mengenai sesi tersebut.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dijadualkan berlepas ke Washington Khamis ini untuk mengadakan pertemuan dengan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR), Jamieson, serta beberapa pegawai kerajaan lain yang berkaitan bagi membincangkan cadangan tarif berkenaan.
Sebelum ini, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan tarif timbal balik sebanyak 24 peratus dikenakan terhadap Malaysia dan beberapa negara dagangnya mengikut kadar masing-masing.
Bagaimanapun, keputusan tersebut ditangguhkan selama 90 hari ke atas tarif timbal balik terhadap lebih 75 negara kecuali China.
Langkah itu disifatkannya sebagai hasil rundingan diplomatik dan semangat muhibah sebagai faktor. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami