Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mendesak kerajaan khususnya Kementerian Pelancongan agar menarik balik lesen hotel yang melaksanakan polisi melarang wanita bertudung bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan (fontdesk), lapor The Malaysian Insight.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, kerajaan perlu bertegas dalam perkara ini bagi memastikan tiada syarikat yang mengenakan polisi bersifat diskriminasi terhadap amalan agama.

“Jika sememangnya larangan pekerja bertudung merupakan polisi syarikat terutamanya hotel antarabangsa, kementerian pelacongan harus mempertimbangkan untuk menarik kembali lesen mereka untuk beroperasi.

“Kerajaan harus jawab bagaimana mereka membenarkan hotel antarabangsa untuk melakukan diskriminasi terhadap amalan agama," Nurul Izzah dipetik sebagai berkata oleh The Malaysian Insight.

Namun Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dilaporkan mempertahankan tindakan operator hotel yang melarang pekerja wanita beragama Islam bertudung bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan (frontdesk),

MAH menafikan larangan yang dikenakan itu adalah satu bentuk diskriminasi sebaliknya berpendapat ia merupakan sebahagian daripada polisi antarabangsa.

Presiden MAH, Cheah Swee Hee menjelaskan setiap hotel terutamanya hotel antarabangsa di Malaysia mempunyai standard operasi (SOP) dan polisi syarikat yang ditetapkan.

"Kita tidak boleh gunakan ayat diskriminasi (isu larangan tudung). Ia kerana syarikat ada polisi masing-masing. Jadi, ada banyak hotel juga menerima mereka yang berhijab.

"Ia lebih kepada polisi dan SOP yang digunakan hotel di seluruh dunia. Ia bukan (Islamicphobia) kerana sudah dibuat sejak awal lagi. Jadi, mereka ada SOP,” katanya kepada The Malaysian Insigt.

Sebelum ini, Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) mendedahkan terdapat aduan daripada kakitangan hotel mengadu mengenai diskriminasi terhadap pekerja wanita Islam yang diarahkan menanggalkan tudung mereka.

Menurut Uni-MLC, larangan yang sama turut dikenakan pelajar yang menghadiri kursus perhotelan dan pelancongan apabila mereka cuba memohon latihan amali.