KUALA LUMPUR: Setakat akhir Julai 2026, terdapat kira-kira 17,000 kanak-kanak kurang upaya pelbagai kategori berusia bawah enam tahun yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Daripada jumlah itu, kira-kira 13,500 adalah dalam kategori ketidakupayaan pembelajaran, meliputi antaranya autisme, ADHD, sindrom Down dan disleksia.
Namun, di sebalik angka yang besar itu, jumlah taman asuhan kanak-kanak (taska) khas untuk mereka hanya 11 buah di seluruh negara, termasuk tiga untuk sindrom Down dan enam buat anak-anak ADHD/autisme.
Kekangan kemudahan itu memaksa kebanyakan ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa ini mengambil pendekatan “pandai-pandai sendiri” bagi memastikan anak mereka menerima asuhan terbaik sebagai bekalan menempuh alam dewasa.
CABARAN IBU BAPA
Mohd Amin Azuwar, 38, yang memiliki dua anak sindrom Down,berkata di peringkat awal, beliau dan isteri berada dalam situasi serba sukar.
“Anak sulung kami kini berusia empat tahun. Semasa dimaklumkan situasi anak perempuan kami ini, kami dalam keadaan tidak tahu apa-apa.
“Kami belajar sendiri semuanya… ke mana hendak dituju selepas itu, apakah makna intervensi awal dan siapa boleh bantu,” imbasnya, menegaskan cabaran terbesar bukan pada anak, sebaliknya sistem sedia ada.
Menurutnya, pada waktu itu beliau terpaksa berhenti kerja bagi memberi tumpuan kepada si anak, sekali gus memberikan kesan kepada pendapatan keluarga. Pun begitu, pengalaman mengendalikan anak pertama membantunya menguruskan anak kedua yang baru berusia enam bulan dengan lebih baik.
“Untuk anak kedua, saya minta kebenaran majikan untuk bekerja dari hospital kerana anak memerlukan terapi urutan setiap hari,” jelasnya.
Pengalaman dengan anak pertama juga membuka mata Mohd Amin tentang masalah kekurangan taska khusus untuk anak istimewa, mendorongnya menyertai pentadbiran Taska Anak Istimewa Sindrom Down (ANISD) yang bertempat di Putrajaya, sebagai pengerusi.
(ANISD adalah antara 11 taska khusus untuk anak-anak kurang upaya di bawah JKM. Selain di Putrajaya, dua lagi taska khas anak sindrom Down terletak masing-masing di Kubang Kerian, Kelantan dan Kota Kinabalu, Sabah.)
Bagi menegaskan keperluan mendesak taska khusus untuk anak istimewa, beliau berkongsi kisah sebuah keluarga yang mengambil keputusan berpindah ke Putrajaya dari Pulau Pinang, demi memastikan anak mereka dapat belajar di ANISD.
“Kisah ini bukan cerita luar biasa, tetapi mencerminkan betapa terhadnya pilihan yang ada. Tiada ibu bapa yang sanggup meninggalkan kerja, keluarga dan kampung halaman jika ada perkhidmatan yang setara berhampiran rumah mereka.
"Mereka sanggup (berpindah) kerana tahu tempoh emas perkembangan anak ini tidak akan berulang. Kalau terlepas lima tahun pertama, maka akan terlepas selamanya. Jadi bagi mereka pengorbanan itu berbaloi,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut mengetengahkan keperluan pihak berwajib menyemak semula had usia seorang kanak-kanak istimewa perlu berada di taska, kerana katanya, golongan ini tidak berkembang mengikut jadual anak-anak biasa.
“Anak sindrom Down berumur empat tahun mungkin baru belajar berjalan atau bertutur. Tetapi, di bawah peruntukan undang-undang, bila cukup empat tahun, anak ini perlu keluar dari taska dan dihantar mengikuti pendidikan prasekolah biasa,” tegasnya, mengesyorkan had usia itu dinaikkan kepada enam tahun.
"Dua tahun itu adalah tempoh paling kritikal untuk persediaan. Di situlah kami boleh fokus pada kemahiran kesediaan sekolah seperti duduk dalam kumpulan, ikut arahan, tumpuan, komunikasi, kawalan buang air, makan sendiri, pakai kasut sendiri. Kesemua ini menentukan sama ada anak itu nanti boleh masuk aliran perdana atau ke pendidikan khas,” jelasnya.
MASIH TERHAD
Senada, pengasas Taska Ikhlas (OKU) Melaka, Datuk Norashikin Ismail berpandangan, kerajaan wajar menimbang penubuhan taska khas di semua negeri memandangkan permintaan yang kian meningkat.
"Sabah, Sarawak serta beberapa daerah luar bandar di Semenanjung juga memerlukan perhatian khusus kerana akses kepada taska OKU masih terhad. Keadaan ini menyebabkan sesetengah keluarga terpaksa menempuh perjalanan yang jauh atau berpindah ke kawasan lain bagi mendapatkan perkhidmatan yang sesuai untuk anak mereka
"Justeru, perancangan pembukaan taska OKU baharu perlu dibuat berdasarkan data dan keperluan sebenar di setiap daerah termasuk bilangan kanak-kanak OKU, kadar permintaan, akses kepada perkhidmatan sedia ada serta faktor geografi. Pendekatan ini dapat memastikan penyediaan perkhidmatan yang lebih adil, menyeluruh dan mudah diakses oleh semua keluarga yang memerlukannya," katanya.
Beliau juga berpendapat, had umur anak-anak istimewa berada di taska dinaikkan kepada enam tahun bagi memastikan intervensi awal yang diberikan benar-benar membawa kesan kepada perkembangan si anak.
"Pada usia lima hingga enam tahun, ramai kanak-kanak OKU masih memerlukan bimbingan secara berterusan dalam aspek komunikasi, tingkah laku, kemahiran sosial dan pengurusan diri sebelum benar-benar bersedia memasuki alam persekolahan.
"Jadi, kesinambungan penjagaan dan intervensi pada peringkat usia ini amat penting bagi memastikan perkembangan mereka tidak terhenti apabila melepasi had umur empat tahun," tegasnya,
BANTUAN
Sebagai pengusaha taska OKU, Norashikin berkata, bantuan serta sokongan amat diperlukan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan taska, antaranya geran bantuan operasi, subsidi latihan tenaga kerja, bantuan pembelian peralatan terapi, sokongan sewaan premis serta peruntukan bagi menaik taraf kemudahan penjagaan agar lebih kondusif dan mesra OKU.
Menurutnya, antara cabaran utama dalam mengusahakan taska khas itu ialah kos operasi lebih tinggi selain memerlukan pengasuh terlatih yang dapat membimbing berdasarkan ketidakupayaan anak-anak tersebut.
"Kanak-kanak OKU mempunyai tahap perkembangan dan keperluan yang berbeza. Maka latihan profesional secara berterusan kepada pengasuh, penjaga dan pendidik penting supaya mereka mampu menyediakan penjagaan dan intervensi yang berkesan mengikut keperluan dan individu.
"Selain itu, nisbah pengasuh yang bersesuaian juga membolehkan setiap kanak-kanak menerima perhatian yang cukup," katanya.
Menyentuh tentang pendekatan terbaik yang dapat dilakukan kerajaan bagi meningkatkan kesedaran ibu bapa mengenai perkhidmatan taska OKU sebaik sahaja anak disahkan sebagai insan berkeperluan khas, Norashikin mengesyorkan kerajaan memperkukuh sistem rujukan nasional agar lebih tersusun.
"Sebaik sahaja kanak-kanak dikenal pasti alami kekurangan keupayaan, ibu bapa perlu diberikan maklumat lengkap mengenai taska OKU berdaftar dengan JKM, pusat intervensi awal, bantuan kewangan serta perkhidmatan sokongan yang disediakan oleh kerajaan dan agensi berkaitan.
"Dengan maklumat yang jelas sejak awal, ibu bapa dapat membuat keputusan lebih cepat demi perkembangan optimum anak mereka," katanya, menambah institusi berkaitan seperti hopsital dan klinik kesihatan juga boleh memainkan peranan dalam aspek itu.
WAJAR TINGKAT HAD UMUR
Sementara itu, pensyarah di Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Hasrul Hosshan berkata, had umur kemasukan untuk penempatan kanak-kanak OKU di taska atau pusat penjagaan, wajar dipertimbangkan hingga enam tahun memandangkan tempoh lingkungan usia tersebut merupakan fasa perkembangan otak yang paling kritikal.
Menurutnya, dalam tempoh itu, intervensi awal dapat memberi impak besar terhadap perkembangan bahasa, komunikasi, tingkah laku, kemahiran sosial dan kendiri dan pelanjutan umur dapat memastikan kanak-kanak yang masih memerlukan sokongan tidak tercicir sebelum memasuki alam persekolahan.
"Manfaat yang akan diperoleh ialah meningkatkan kesediaan sekolah termasuk kemahiran komunikasi, sosial, pembelajaran dan pengurusan diri.
"Ini membantu kanak-kanak memasuki prasekolah atau tahun satu dengan tahap keyakinan dan keupayaan yang lebih baik, sekali gus mengurangkan kebergantungan pada intervensi intensif pada masa depan," katanya.
Selain had umur, Hasrul yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan Inklusif Komuniti dan Ketidakupayaan (CIRCLE) menyifatkan penubuhan taska sedemikian perlu diperluas berikutan ramai ibu bapa berdepan kesukaran mendapatkan tempat.
Tegasnya, kekurangan akses menyebabkan ramai kanak-kanak kehilangan peluang menerima intervensi dalam tempoh sepatutnya, manakala kelewatan mendapatkan intervensi boleh memberi kesan kepada perkembangan kanak-kanak tersebut dalam jangka panjang.
"Keluarga pula berdepan tekanan emosi, kewangan dan penjagaan. Malah ada ibu bapa terpaksa berhenti kerja bagi menjaga anak sepenuh masa. Oleh itu penyediaan perkhidmatan intervensi awal merupakan satu pelaburan kerajaan yang memberi manfaat kepada rakyat dan negara," katanya.
Beliau turut mengesyorkan kerajaan meningkatkan peruntukan untuk pendidikan golongan ini termasuk menyediakan subsidi yuran bagi keluarga berpendapatan rendah dan latihan kompetensi berterusan kepada tenaga kerja.
"Langkah ini bukan sahaja memberi manfaat kepada kanak-kanak malah kepada ekonomi keluarga. Apabila anak mendapat penjagaan dan intervensi berkualiti, ibu bapa boleh kembali bekerja atau mengekalkan pekerjaan mereka. Ini dapat meningkatkan pendapatan isi rumah, mengurangkan tekanan kewangan seterusnya menyumbang kepada produktiviti ekonomi negara," katanya.
Hasrul berkata, Malaysia boleh mencontohi negara seperti Australia, Singapura dan Jepun yang memberi penekanan kepada intervensi awal yang mudah diakses, latihan profesional berterusan serta pembiayaan kerajaan yang kukuh.
Untuk rekod, kerajaan secara konsisten memperuntukkan RM1 bilion setahun bagi menjaga kebajikan golongan kurang upaya dalam tempoh lima tahun lalu. Jumlah itu meningkat kepada RM1.2 bilion pada 2024, RM1.3 bilion dalam belanjawan 2025 dan RM1.4 bilion di bawah belanjawan 2026.
Di bawah belanjawan 2025 juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penubuhan 11 Pusat PERMATA baharu bagi memperluas akses intervensi awal serta pendidikan khas untuk kanak-kanak berkeperluan khas (autisme, sindrom Down, dan lewat perkembangan) di seluruh negara.
Sementara itu, disebabkan oleh bilangan taska khusus yang terhad, JKM menggalakkan ibu bapa memanfaatkan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti dan taska biasa sebagai persiapan untuk anak-anak istimewa mereka menempuh alam persekolahan biasa.
-- BERNAMA