Tawaran baharu Program MyBrainSc masih diteruskan seperti biasa, kata Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.

Jelasnya, iklan Biasiswa MyBrainSc telah dibuka dari 25 Januari sehingga 10 Februari lepas dan sesi temuduga akan bermula dari 8 sehingga 30 April.

Jelasnya, kedua-dua program MyBrain adalah subset kecil untuk menyokong objektif pelan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) untuk mencapai sasaran melahirkan 60,000 orang graduan Ph.D warga negara Malaysia menjelang tahun 2025.

"Program-progam lain seperti tajaan MARA, JPA, SLAB/SLAI dan tajaan Biasiswa keguruan juga adalah antara penyumbang bagi mencapai sasaran ini.

"Walaupun tawaran baharu Program MyBrain15 ditangguhkan pada masa ini, namun Kementerian masih meneruskan pemberian Fundamental Research Grant Scheme (FRGS).

"Ianya ditawarkan kepada semua universiti awam (UA) di Malaysia. Dana skim ini untuk tahun 2018 adalah sejumlah RM200 juta manakala untuk tahun 2019 pula ditambahkan sebanyak RM75.35 juta menjadikannya RM275.35 juta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Siti Zailah Mohd Yusoff (Pas-Rantau Panjang) yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan apakah Kementerian berhasrat untuk mengembalikan semula peruntukan biasiswa MyBrain agar dapat melahirkan lebih ramai mahasiswa yang berkelulusan Master dan PhD.


Jelas Maszlee, pada masa ini menguruskan dua jenis program tajaan biasiswa untuk orang awam iaitu Biasiswa MyBrain15 dan Biasiswa MyBrainSc.

Program Biasiswa MyBrain15 ditawarkan untuk pengajian peringkat sarjana dan Ijazah Kedoktoran dalam pelbagai bidang di UA dalam negara.

Penawaran terakhir Program MyBrain15 adalah pada November 2016 dan KPM masih meneruskan pembiayaan sejumlah 1,606 orang pelajar MyBrain15 yang masih aktif sehingga tamat tempoh penajaan pada tahun 2023.

Sementara tajaan Biasiswa MyBrainSc adalah difokuskan untuk bidang Sains Tulen sahaja (Fizik, Matematik, Kimia dan Biologi) bagi pelbagai peringkat pengajian dari Ijazah Pertama hingga PhD di universiti dalam dan luar negara.

Dalam pada itu, jelas Maszlee, pemberian geran penyelidikan itu mampu untuk melahirkan pemegang Sarjana dan PhD secara lebih bersasar.

"Di mana penyelia projek iaitu di kalangan profesor, pensyarah yang memantau pelajar seliaan mereka akan dipantau dengan lebih dekat melalui perkembangan projek penyelidikan.

"Ini seterusnya akan membantu melahirkan graduan dalam tempoh pengajian seperti yang ditetapkan dalam surat tawaran universiti.

"Selain daripada pelaksanaan kedua-dua program MyBrain dan pemberian geran penyelidikan dalam membantu melahirkan lebih ramai mahasiswa berkelulusan Sarjana dan PhD."

Tambah Maszlee, kementeriannya juga masih meneruskan pemberian biasiswa dan tajaan untuk 35 program tajaan biasiswa dalam perkhidmatan di bawah Kementerian untuk melahirkan lebih ramai pemegang Sarjana dan PhD daripada kalangan guru, pensyarah Politeknik, Kolej Komuniti, Kolej Matrikulasi dan UA seluruh negara dalam memenuhi keperluan perkhidmatan di KPM.