JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Johor membuka kertas siasatan berhubung satu aduan tawaran rasuah RM10 juta untuk lompat parti melibatkan Ahli Parlimen Sekijang Natrah Ismail.

Pengarahnya Datuk Azmi Alias berkata beberapa saksi yang terlibat telah dikenal pasti dan rakaman percakapan termasuk Natrah sedang dijalankan.

"SPRM buka satu kertas siasatan bagi mengesahkan aduan berhubung tawaran rasuah RM10 juta sebagaimana yang dilaporkan dalam Facebook Ops Johor berkenaan Ahli Parlimen Sekijang mendapat tawaran wang RM10 juta untuk beliau lompat parti.

"Beberapa saksi yang terlibat telah dikenal pasti dan tindakan mengesan dan merakam percakapan sedang dijalankan," katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Azmi menggesa agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara itu sehingga siasatan selesai dijalankan.

"Sekiranya mana-mana pihak yang mempunyai apa-apa bukti atau keterangan baharu, sila hubungi SPRM untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Dua hari lepas, Natrah telah membuat satu laporan kepada SPRM mengenai satu kejadian percubaan yang didakwa untuk mendapatkan sokongannya terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

-- BERNAMA