NATIONAL
TCS, Astro & MAB sumbang buku audio buat golongan kurang penglihatan

(Dari kiri) George bersama Santhirasegaran yang menghulurkan sagu hati kepada Su Lynn bersama Jeevan di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri dan Majlis Pelancaran Sumbangan buku audio di Kompleks MAB Brickfields. - Astro
KUALA LUMPUR: Tata Consultancy Services (TCS), Astro, dan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) bergabung untuk melancarkan program baharu yang bertujuan untuk membantu kanak-kanak kelainan upaya penglihatan di Malaysia.
Program yang dilancarkan pada majlis sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Di Kompleks MAB Brickfields Rabu lalu menandakan permulaan gerakan sukarelawan untuk menghasilkan 5,000 jam kandungan buku audio berkualiti tinggi menjelang 2026.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB), Datuk George Thomas, beliau berbesar hati untuk berkolaborasi dengan TCS dan Astro dalam kempen untuk menjadikan buku lebih mudah diakses kepada komuniti kurang penglihatan di Malaysia.
“Walaupun MAB adalah penerbit utama buku teks untuk pelajar di sekolah arus perdana, kami berkomitmen untuk memenuhi keperluan dan permintaan yang semakin meningkat untuk pelbagai bahan bacaan dan kandungan yang boleh diakses,” katanya menerusi kenyataan di sini.Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TCS, Jeevan Rajoo pula menjemput seluruh negara untuk bersama-sama dalam merakam 5,000 jam buku audio untuk golongan terbabit.
“Bersama dengan Astro, inisiatif kami melibatkan teknologi yang sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari PBB 10 dan 4, mengurangkan jurang dan pendidikan inklusif dengan menyediakan sumber pembelajaran yang boleh diakses untuk mengembangkan daya pembelajaran individu kurang penglihatan,” ujarnya.
Untuk merealisasikan visi ini, pihak TCS dan Astro mula merakam konten khas
yang boleh didapati dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, Mandarin, dan Tamil untuk digunakan di sekolah, perpustakaan, dan pusat komuniti.
Sukarelawan boleh merakam dari rumah atau menggunakan kemudahan profesional di ibu pejabat MAB di Brickfields yang juga menjadi salah satu daripada hanya dua organisasi di Malaysia yang dibenarkan untuk menghasilkan bahan berhak cipta dalam format audio dan rakaman.
TCS dan Astro juga sedang meneroka integrasi penyelesaian suara yang dipacu Teknologi Buatan atau Artificial Intelligence (AI) bagi mempercepatkan proses pengeluaran buku audio konvensional yang mengambil masa sehingga 20 jam bagi setiap tajuk.

Sesi bergambar antara kakitangan Astro bersama Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) di Rumah Terbuka Aidilfitri dan Majlis Pelancaran Sumbangan buku audio pada Rabu - Gambar Astro
Untuk menyertai program ini, orang ramai boleh menghantar emel kepada [email protected] bagi panduan uji bakat serta rakaman.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami