Bekas presiden MCA Datuk Seri Datuk Tee Keat enggan menafikan atau mengesahkan khabar angin bahawa beliau mungkin bertanding untuk jawatan presiden pada pemilihan parti yang akan datang.

Tee Keat tampak seperti tidak mahu memberi jawapan yang tepat apabila beliau mengulas mengenai laporan-laporan dalam akhbar berbahasa Cina yang mengatakan beliau bakal betanding untuk jawatan presiden.

“Saya tak pernah berkata demikian (bahawa saya akan bertanding untuk jawatan presiden). Itu adalah apa yang mereka tafsirkan.

“Saya hanya berkata, jika saya hendak diri saya dipilih, atau jika saya hendak mengundi semasa pemilihan parti, maka, saya perlu menjadi seorang perwakilan pusat,” katanya kepada Astro AWANI.

Menurut satu laporan, Ketua MCA Bahagian Pandan, Datuk Ong Chen Huing telah bersetuju untuk melepaskan jawatannya untuk memastikan Tee Keat layak untuk bertanding untuk jawatan teratas MCA.

Sekiranya Tee Keat, yang kini merupakan seorang ahli biasa, mengambil alih jawatan yang dilepaskan oleh Chen Huing, Tee Keat akan terus layak untuk bertanding untuk jawatan-jawatan teratas parti tersebut.

Namun demikian, dalam laporan yang sama, Chen Huing berkata beliau bukan ingin melepaskan jawatan tersebut untuk Tee Keat tetapi, beliau ingin berbuat demikian untuk memberi tumpuan kepada kerjaya perniagaannya.

Sementara itu, semasa mengulas tentang kemelut MCA itu, penganalisis politik Khoo Kay Peng berkata penerimaan Tee Keat ke jawatan teratas MCA akan ditentukan oleh lebih 2,000 ahli cawangan dan perwakilan.

“Beliau memerlukan undi dan sokongan ahli cawangan dan perwakilan untuk kembali berkuasa dalam parti MCA,” kata Khoo.

Tee Keat pernah menjadi presiden MCA selama satu tahun sebelum dikalahkan.