awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Malaysia miliki asas kukuh, berdaya saing sebagai hab MRO perkapalan utama ASEAN - MITI
Jumlah kematian akibat tanah runtuh di Jawa Barat, Indonesia meningkat kepada 48 orang
Indonesia perketat saringan kesihatan di pintu masuk susulan risiko virus Nipah
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Teknologi CubeSats untuk pemantauan hutan, sumber air Sarawak - Abang Johari

Bernama
Bernama
27/01/2026
20:45 MYT
Teknologi CubeSats untuk pemantauan hutan, sumber air Sarawak - Abang Johari
Abang Johari berkata, CubeSats mempunyai kelebihan dari segi kos yang lebih rendah. - Gambar Bernama
KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak bercadang menggunakan teknologi satelit berskala kecil dikenali sebagai CubeSats bagi menyokong pemantauan alam sekitar, pemuliharaan hutan serta pengurusan data tanah dan air di negeri itu.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, CubeSats mempunyai kelebihan dari segi kos yang lebih rendah.
"Para saintis menyatakan kos sebuah satelit tradisional bernilai antara 100 juta hingga 300 juta euro (RM470 juta hingga RM1.41 bilion) berbanding CubeSats yang berharga kurang daripada 500,000 euro (RM235 juta)," katanya pada majlis pelancaran Pameran dan Persidangan Aeroangkasa Asia Pasifik (APACE) 2026, di sini, pada Selasa.
Beliau berkata, selain itu, pembangunan dan pelancaran satelit konvensional lazimnya mengambil masa antara lima hingga 15 tahun manakala CubeSats boleh dibina dan ditempatkan di orbit rendah dalam tempoh tidak sampai setahun.
"Sebelum ini, hanya negara dan syarikat besar mampu membangunkan satelit kerana kosnya tinggi dan tempoh pelaksanaan boleh mencecah lebih 10 tahun.
"Teknologi CubeSats mengubah landskap ini, apabila satelit nano boleh dibina dalam beberapa bulan dan dilancarkan pada kos jauh lebih rendah, sekali gus mengurangkan risiko kewangan," katanya.
Abang Johari berkata, teknologi yang akan dilaksanakan bakal digunakan untuk menentukan keadaan alam sekitar di Sarawak termasuk pemuliharaan hutan, data tanah, kawasan paya bakau serta aliran air.
Pada masa sama, beliau berkata, Kerajaan Negeri Sarawak sedang melakukan kajian secara terperinci berkaitan kos serta keperluan kejuruteraan sebelum pelaksanaan penuh projek ini.
Selain manfaat teknologi, katanya, inisiatif itu dijangka membuka peluang pekerjaan yang luas dalam bidang aeroangkasa, dengan keperluan tenaga kerja teknikal dianggar mencecah 30,000 orang, khususnya dalam kepakaran satelit.
Beliau berkata, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan tempatan melalui Kolej Universiti i-CATS dengan penubuhan Fakulti Teknologi Angkasa bagi melatih anak Sarawak dalam bidang aeroangkasa.
Mengenai pelancaran CubeSats di Sarawak, beliau berkata, kerajaan negeri mengambil pendekatan berperingkat.
"Langkah pertama ialah melatih tenaga kerja Sarawak terlebih dahulu supaya mereka benar-benar memahami teknologi angkasa terkini," katanya.
-- BERNAMA
Topic Berkaitan
#CubeSats
#pemantauan hutan
#air Sarawak
#Abang Johari Tun Openg
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan