Skip to main content

Malaysia

Teknologi digital, AI perlu dimanfaatkan untuk pelestarian seni kaligrafi - Aaron

GEORGE TOWN, 6 Julai -- Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Penutup Pesta Buku ASEAN Pulau Pinang dan Festival Kaligrafi Perpaduan 2026 di Pusat Konvensyen Waterfront Pulau Pinang (PWCC) malam ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Penutup Pesta Buku ASEAN Pulau Pinang dan Festival Kaligrafi Perpaduan 2026 di Pusat Konvensyen Waterfront Pulau Pinang (PWCC) malam ini. - Foto BERNAMA
Advertisement

GEORGE TOWN: Teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), platform digital dan media kreatif perlu dimanfaatkan bagi memperluas seni kaligrafi kepada generasi muda dalam usaha memastikan warisan budaya itu terus dipelihara serta kekal relevan seiring perkembangan zaman.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata pendekatan itu penting bagi memastikan seni kaligrafi tidak tenggelam dalam arus pendigitalan yang semakin pesat, di samping menggabungkan warisan tradisi dengan inovasi moden tanpa menjejaskan nilai aslinya.

"Walaupun dunia kini berkembang pesat dengan kemajuan teknologi digital dan AI, seni kaligrafi tetap mempunyai nilai yang tidak boleh digantikan. Justeru, seni kaligrafi harus terus dipelihara, dimartabatkan dan diangkat sebagai warisan budaya yang hidup agar tidak tenggelam dalam arus pendigitalan yang serba pantas.

"Pendigitalan karya, pameran maya, aplikasi pembelajaran kaligrafi serta kolaborasi antara pengkarya dan teknologi boleh menjadi langkah ke hadapan bagi memastikan seni ini terus kekal relevan," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Pesta Buku ASEAN Pulau Pinang dan Festival Kaligrafi Perpaduan 2026 di Pusat Konvensyen Waterfront Pulau Pinang (PWCC), di sini malam ini.

Majlis itu naan disempurnakan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib serta turut dihadiri isteri, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah.

Festival Kaligrafi Perpaduan yang memasuki penganjuran tahun kedua, katanya, memberi peluang kepada masyarakat mengenali serta menghayati keindahan seni tulisan daripada pelbagai budaya di Malaysia.

Beliau berkata seni kaligrafi yang merangkumi khat Jawi, kaligrafi Cina, Tamil dan pelbagai bentuk tulisan tradisional lain bukan sahaja mempunyai nilai estetika yang tinggi, malah menjadi lambang ketamadunan serta mencerminkan pemikiran dan jati diri masyarakat berbilang etnik.

Dalam pada itu, Aaron berkata Pesta Buku ASEAN 2026 yang berlangsung serentak dengan festival berkenaan turut menjadi platform memperkukuh budaya membaca dan merancakkan industri perbukuan negara.

Pesta Buku ASEAN dan Festival Kaligrafi Perpaduan 2026 yang berlangsung selama empat hari bermula 3 Julai lepas menyediakan pelbagai pengisian termasuk sesi bicara buku, pelancaran buku baharu, sembang seni digital, pameran seni kaligrafi, pertandingan kaligrafi dan khat perpaduan, pameran kraftangan, ASEAN Kid’s Fashion Competition, pertandingan muzik, kuiz interaktif, jualan buku dengan diskaun sehingga 70 peratus serta Jualan Rahmah.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement