BANGI: Teknologi nuklear bukan sekadar berkait dengan penyelidikan dan aplikasi sains, malah berpotensi menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara menerusi pengkomersialan hasil penyelidikan, pembangunan industri berteknologi tinggi serta peluasan pasaran eksport.
Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia Dr Muhammad Rawi Mohamed Zin berkata perkara itu selaras dengan pelaksanaan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 yang menggariskan enam sektor fokus, iaitu perubatan dan penjagaan kesihatan; makanan dan pertanian; pembuatan peranti dan peralatan; pengurusan alam sekitar dan sumber asli; aplikasi perindustrian; serta keselamatan dan sekuriti nuklear.
Beliau berkata Agensi Nuklear Malaysia yang bertindak sebagai sekretariat DTNN 2030 di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), melihat setiap sektor berkenaan mempunyai nilai ekonomi tersendiri dan mampu menyumbang kepada pembangunan rantaian nilai tempatan.
"Perkembangan teknologi nuklear turut membuka ruang kepada syarikat tempatan untuk menghasilkan produk bernilai tinggi, selain menarik pelaburan asing yang memanfaatkan kemudahan teknologi penyinaran di negara ini.
"Potensi ekonomi teknologi nuklear bukan tertumpu pada satu industri sahaja, tetapi merentasi pelbagai rantaian nilai, termasuk perubatan, pertanian, pembuatan, alam sekitar dan industri. Jadi, masing-masing menyumbang kepada ekonomi negara," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata antara aplikasi yang telah memberikan nilai tambah kepada ekonomi, termasuk penggunaan teknologi sinaran dalam pengeluaran sarung tangan getah bagi meningkatkan ketahanan produk, selain proses penyinaran untuk membasmi mikroorganisma dan memanjangkan jangka hayat makanan serta produk pertanian.
Teknologi penyinaran juga digunakan terhadap produk seperti herba dan lada hitam bagi memenuhi keperluan pasaran eksport tertentu.
"Pada masa yang sama, Nuklear Malaysia sedang bekerjasama dengan Jabatan Pertanian untuk meneroka penggunaan teknologi berkenaan bagi membolehkan buah-buahan tempatan seperti nangka, durian dan rambutan menembusi pasaran luar negara.
"Amerika Syarikat dan Emiriah Arab Bersatu antara negara yang menetapkan keperluan tertentu terhadap produk pertanian yang diimport, termasuk proses penyinaran bagi membasmi mikroorganisma.
"Kalau kita urus buah-buahan itu dengan cara yang baik, kita boleh gunakan teknik sinaran yang kita sudah ada. Jika bekalan buah-buahan mencukupi, kita boleh eksport selepas proses penyinaran," katanya.
Dalam sektor perindustrian pula, Muhammad Rawi berkata aplikasi berkaitan teknologi nuklear digunakan dalam pengeluaran produk semikonduktor serta sistem elektronik.
"Dalam sektor kesihatan, teknologi nuklear pula berpotensi menyumbang menerusi penghasilan radioisotop dan radiofarmaseutikal bagi tujuan diagnosis serta rawatan, selain menyokong pertumbuhan pelancongan perubatan.
"Dalam sektor keselamatan pula, antara aplikasi yang berkembang ialah penghasilan mesin sinar-X bagi tujuan kawalan sempadan dan keselamatan," katanya.
Dari segi perdagangan, beliau berkata pelaksanaan DTNN 2030 turut menunjukkan perkembangan ketara apabila nilai eksport produk nuklear tempatan bagi tempoh 2021 hingga 2025 mencecah hingga RM6 bilion, melepasi sasaran RM2.403 bilion yang ditetapkan bagi 2030.
"Sebagai perbandingan, nilai eksport produk berkaitan teknologi nuklear antara 2016 hingga 2020 berada pada kira-kira RM578 juta hingga RM656 juta setahun.
"Antara produk yang dieksport ialah radas hingga penjana bagi mesin sinar-X serta tomografi berkomputer, selain peralatan perubatan, pembedahan, pergigian dan veterinar yang menggunakan teknologi sinaran mengion," katanya.
Beliau berkata kira-kira 348 syarikat tempatan terlibat dalam aktiviti pengeksportan produk berkaitan teknologi nuklear dengan pasaran antaranya Singapura, Brunei, Jepun, Jerman, Belanda dan Thailand.
Perkembangan berkenaan menunjukkan ekosistem teknologi nuklear tempatan semakin berkembang daripada aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepada pengeluaran, pengkomersialan serta eksport.
Sehubungan dengan itu, antara sasaran DTNN 2030 adalah menubuhkan hab pengeluaran berpusat untuk pengeluaran radioisotop dan radiofarmaseutikal di negara ini, termasuklah merancang pembangunan loji siklotron 30 mega-electron volt (MeV) bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran radioisotop perubatan negara.
"Pembangunan hab pengeluaran berpusat akan membolehkan Malaysia memasuki rantaian bekalan radioisotop serantau dan mampu memaksimumkan impak teknologi nuklear dalam industri perubatan tempatan dan serantau," katanya.
-- BERNAMA