Usaha untuk menjadikan kenderaan lebih selamat tidak pernah berhenti dan begitulah juga Toyota yang dikatakan membuat lebih kurang 1,600 ujian perlanggaran setahun. Lebih dari itu, mereka telah membuat revolusi tentang bagaimana patung yang digunakan ketika ujian perlanggaran sepatutunya berfungsi.

Pada tahun 1997, Toyota Motor Corporation (TMC) teah membuat keputusan untuk menghasilkan patung perlanggaran yang lebih mampu memberi maklumat tentang kecederaan dialami ketika kejadian sebenar.

Dengan itu terciptalah THUMS ataupun Total Human Model for Safety yang bukan sahaja mempunyai simulasi otot dan struktur yang lebih tepat, tetapi juga mempunyai simulasi kulit manusia dan organ dalaman. Penyelidik Toyota dengan bantuan pakar-pakar luar membuat bahagian dalam THUMS lebih realistik berdasarkan rujukan imbasan CT (ComputerisedTomography) kepada badan manusia.

Terdapat pelbagai variasi model THUMS yang dihasilkan, termasuk untuk membayangkan sebuah keluarga (termasuk kanak-kanak dan warga emas). Sebagai contoh, ‘lelaki dewasa’ mempunyai ketinggian 179sm dan 189sm, dan ada juga ‘wanita’ dengan ketinggian 153sm.



Ini ditambah lagi dengan variasi pejalan kaki, disamping penumpang kenderaan yang lebih kerap kita lihat seperti di dalam video di atas.

Dengan sensor-sensor yang ada di dalam dan luar model THUMS tersebut, setiap perlanggaran menghasilkan sehingga 100GB data bagi setiap ‘penumpang’.

Maklumat ini membantu jurutera dan penyelidik memahami apa yang terjadi kepada badan manusia - termasuk organ dalaman – ketika perlanggaran.

Sehingga kini, data-data lebih terperinci daripada THUMS sudah membantu Toyota memperbaiki teknologi serta rekaan beg udara sisi di samping rekaan kerusi yang mengurangkan kecederaan akibat ‘whiplash’.

Selain itu, ia juga telah menyumbang kepada rekaan struktur bahagian hadapan kereta yang lebih cekap menyerap daya hentakan apabila berlaku perlanggaran dengan pejalan kaki.

Patung THUMS sekarang sudah begitu maju hingga ia boleh mengukur kerosakan pada simulasi otot, ligamen, tendon dan juga kulit.