KUALA LUMPUR: Malaysia dan negara anggota ASEAN perlu menggabungkan teknologi dengan kerjasama lebih kukuh, kesiapsiagaan bencana dan dasar yang diselaraskan bagi memastikan rangkaian telekomunikasi terus beroperasi serta komuniti kekal berhubung ketika krisis.
Pengarah Urusan Kacific Broadband Satellites Group dan K Tower Hussein Abdulkader berkata daya tahan rangkaian tidak boleh bergantung hanya pada satu teknologi, sebaliknya memerlukan ekosistem bersepadu melibatkan kerajaan, pengawal selia, pengendali mudah alih, penyedia satelit dan agensi kemanusiaan.
"Anda tidak boleh mengatakan ada teknologi tertentu yang akan menjadikan kita berdaya tahan, sebaliknya dengan adanya masyarakat, kerjasama, dasar, tadbir urus dan pembiayaan, ekosistem itulah yang memberikan kita daya tahan," katanya pada sesi panel bertajuk “Networks for Resilient Digital Nations: Preparedness, Continuity and Innovation in ASEAN” bersempena dengan M360 ASEAN 2026 di sini, pada Rabu.
Abdulkader berkata integrasi rangkaian darat dan satelit adalah penting bagi menyediakan peralihan yang lancar apabila infrastruktur fizikal seperti pautan gentian atau gelombang mikro terjejas ketika bencana.
Merujuk operasi bantuan bencana di Papua New Guinea, apabila unit satelit mudah alih berkuasa solar digunakan bagi menyokong petugas barisan hadapan susulan kejadian tanah runtuh, beliau berkata teknologi yang tersedia tidak banyak membantu tanpa protokol penempatan pantas yang telah ditetapkan terlebih dahulu.
Setiausaha serta penasihat kemanusiaan dan daya tahan Suruhanjaya Tinggi Britain di Islamabad Heidi Carrubba berkata kesiapsiagaan menghadapi bencana perlu diterapkan lebih awal sebelum musibah berlaku.
"Pelaburan yang paling berkesan tidak semestinya melibatkan teknologi canggih ... tetapi turut berkaitan dengan pembinaan reka bentuk sistem, tadbir urus dan pengujian sebelum krisis berlaku," katanya.
Carrubba berkata pada akhirnya daya tahan digital dapat dinikmati oleh rakyat, khususnya dalam menyampaikan amaran keselamatan yang berkesan kepada komuniti terpencil, bukannya sekadar siren amaran.
"Sebenarnya telefon anda juga boleh menjadi peranti penyelamat nyawa. Amaran awal melalui telefon mudah alih, digabungkan dengan analisis bahaya dan tindakan antisipatori dapat membantu kerajaan beralih daripada bertindak selepas bencana kepada membuat persediaan," katanya.
Beliau berkata meskipun ASEAN sudah mempunyai rangka kerja kesiapsiagaan kecemasan, kerjasama rentas sempadan yang lebih erat diperlukan bagi memastikan setiap rakyat menerima amaran masa nyata yang dipercayai.
Sementara itu, Ketua Pengarah Cellular Operators Association of India (COAI) Lt Gen Dr S.P. Kochhar berkata bencana alam berskala besar perlu dianggap sebagai kecemasan negara, sambil menggesa pihak berkuasa memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dan data satelit untuk menjangka kawasan bencana serta menyalurkan sumber dengan pantas.
“Daya tahan menghadapi bencana menjadi tanggungjawab merentas sektor dan sempadan yang memerlukan SOP, struktur arahan serta daftar aset yang telah ditetapkan lebih awal,” katanya.
Kochhar berkata pelaburan sedemikian tidak seharusnya dinilai semata-mata berdasarkan pulangan pelaburan (ROI) komersial kerana usaha mengekalkan komunikasi kecemasan dapat melindungi infrastruktur negara dan nyawa.
Pengarah pembangunan industri tanpa wayar Huawei Asia Pasifik Alex Lai berkata auxiliary power (kuasa bantu) sering menjadi kelemahan utama dalam kesinambungan rangkaian apabila stesen pemancar pangkalan kerap terhenti selepas bateri simpanan kehabisan tenaga walaupun peralatan tidak mengalami kerosakan.
Lai berkata pengendali perlu menyediakan sumber tenaga simpanan yang boleh beroperasi sendiri di lokasi serta laluan sambungan tanpa wayar alternatif, kerana ketika banjir besar kerja membaiki talian gentian optik yang terjejas boleh mengambil masa yang lama.
M360 ASEAN 2026, anjuran GSM Association bermula hari ini hingga esok itu, menghimpunkan menteri, pengawal selia dan pemimpin industri untuk membincangkan kepercayaan digital, AI, infrastruktur berdaya tahan dan integrasi digital serantau.
Acara itu yang diadakan buat julung-julung kali di rantau ASEAN dan Malaysia, mendapat sokongan daripada Kementerian Komunikasi dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai rakan penganjur.
-- BERNAMA