PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyampaikan ucapan sembah tahniah sempena Majlis Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Melawati, Putrajaya.

Berikut merupakan teks penuh ucapan beliau.



Bismillahir Rahmannir Rahim.
Assalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik pohon diampun,

Menghadap,
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah,

Menghadap,
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Ampun Tuanku,

2. Pertamanya, dengan penuh takzimnya, patik mewakili pihak Kerajaan, penjawat awam, anggota keselamatan, serta sekalian rakyat Malaysia, mengangkat setinggi-tinggi sembah tahniah sempena Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Tuanku selaku Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

3. Pada kesempatan ini terlebih dahulu patik merafakkan doa yang ikhlas dan kudus ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala, semoga Kebawah Duli Tuanku bersama Tuanku Raja Permaisuri Agong terus memperoleh keafiatan dengan penuh kedaulatan dan kebesarannya.

4. Patik dan Anggota Pentadbiran Kerajaan menjunjung kasih Kebawah Duli Tuanku kerana kesudian Kebawah Duli Tuanku berangkat untuk bertitah di Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 pada 18 Mei 2020 lalu dalam pada negara masih berdepan dengan wabak COVID-19. Titah nasihat serta keprihatinan Kebawah Duli Tuanku terhadap kesejahteraan rakyat dengan sentiasa mengingatkan mereka dari semasa ke semasa untuk menjaga kesihatan, keharmonian dan keselamatan amat dihargai oleh rakyat sekalian. Sesungguhnya rakyat keseluruhannya menyanjung tinggi dan menyayangi Kebawah Duli Tuanku berdua.

Ampun Tuanku,

5. Sebagaimana Kebawah Duli Tuanku sedia maklum, perjuangan memerangi wabak virus COVID-19 masih belum berakhir. Selain usaha- usaha Kerajaan, kejayaan negara memerangi COVID-19 dalam fasa pemulihan ini adalah bergantung kepada kesedaran, sikap dan amalan setiap rakyat di negara ini. Oleh itu Kerajaan akan terus berusaha membendung wabak ini di samping menggesa rakyat menerap normal baharu termasuk mengamalkan SOP yang ditetapkan dalam kehidupan harian. Kawalan di pintu-pintu masuk negara juga akan terus diperketatkan. Kerajaan juga telah mendahului usaha dan kerjasama dengan negara lain untuk memperolehi vaksin COVID-19.

6. Patik berdoa semoga Malaysia dilindungi oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan dijauhkan-Nya daripada wabak COVID-19. Patik juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan tahniah kepada semua pihak terutamanya petugas barisan hadapan. Kita sangat berbangga dengan komitmen tinggi yang telah ditunjukkan oleh mereka.

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik pohon diampun,

7. Penularan wabak COVID 19 bakal menjejaskan pertumbuhan ekonomi dunia pada tahun ini dan mungkin juga beberapa tahun mendatang. Penguncupan Keluaran Dalam Negeri Kasar, atau KDNK dunia dan ketidaktentuan ekonomi negara-negara kuasa besar boleh mengakibatkan ekonomi negara menghadapi prospek yang kurang memberangsangkan.

8. Dalam hal ini, patik menyembah maklum Kebawah Duli Tuanku bahawa inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan PRIHATIN Tambahan, dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) telah diperkenalkan bertujuan untuk merancakkan semula ekonomi negara. Keseluruhannya ia berjumlah RM295 bilion, bersamaan 17% KDNK negara. Jumlah pakej-pakej rangsangan ekonomi tersebut merupakan antara yang tertinggi di dunia dan paling tinggi dalam kalangan negara sedang membangun. Dianggarkan pakej-pakej rangsangan tersebut mampu menyumbang lebih kurang 3% daripada KDNK negara pada tahun 2020.

9. Alhamdulillah, sebahagian besar rakyat telah menerima manfaat dari pakej-pakej rangsangan ini. ANTARANYA IALAH Bantuan PRIHATIN Nasional berjumlah RM11.14 bilion telah memberi manfaat kepada 10.6 juta penerima. Kemudahan pengeluaran Akaun 2 KWSP berjumlah RM6.5 bilion telah DIMANFAATKAN oleh 4.5 juta pencarum. Bantuan Penjawat Awam dan Pesara berjumlah RM1.25 bilion diterima oleh 2.5 juta orang. Geran Khas PRIHATIN berjumlah RM1.63 bilion telah memanfaatkan 545 ribu PKS mikro. Skim Pembiayaan Mikro BSN berjumlah RM323 juta telah memberi faedah kepada 9,375 penerima pinjaman perniagaan manakala Skim Pembiayaan Mikro TEKUN berjumlah RM193.6 juta telah memanfaatkan 25,768 penerima pinjaman perniagaan. Selain itu, Program Subsidi Upah berjumlah RM8.73 bilion telah memberi manfaat kepada lebih 320 ribu majikan dan 2.6 juta pekerja. Special Relief Facility yang berjumlah RM10.07 bilion telah diluluskan oleh bank-bank terlibat kepada 21,240 perusahaan kecil dan sederhana. Bagi mengatasi masalah pengangguran, kerajaan Kebawah Duli Tuanku juga telah melaksanakan Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan yang melibatkan pembayaran berjumlah RM10.5 juta kepada 3,777 majikan bagi pengambilan hampir 13,000 pekerja.

10. Sejak sektor-sektor ekonomi dibuka semula pada bulan Jun yang lalu, seramai 15.7 juta pekerja telah kembali bekerja. Ekonomi negara kita sudah mula rancak dan Insya Allah dengan usaha dan sokongan semua pihak, ekonomi negara dapat pulih dengan lebih cepat. Semua kementerian dan jabatan telah diminta melihat semula undang-undang, peraturan dan SOP masing-masing bagi menyediakan perkhidmatan yang cekap dan pantas terutama di era pasca COVID-19 yang memerlukan pentadbiran Kerajaan yang pantas dan responsif.

11. Tumpuan juga akan diberikan kepada meningkatkan pelaburan domestik dan perbelanjaan pengguna bagi merancakkan ekonomi negara. Sehingga Jun 2020, MITI melalui MIDA sedang menilai 725 projek perkilangan dan perkhidmatan dengan anggaran jumlah pelaburan sebanyak RM36.7 bilion. Daripada jumlah keseluruhan ini, sebanyak RM19.2 bilion atau 52.3% merupakan pelaburan langsung domestik dan RM17.5 bilion atau 47.7% adalah pelaburan langsung asing. Selain daripada itu, sebanyak 141 projek atau investment leads dengan nilai pelaburan RM72.6 bilion yang berpotensi untuk melabur di Malaysia telah dikenalpasti.

12. Bagi membantu rakyat yang terbeban dengan pembayaran pinjaman pula, bank dan institusi kewangan telah diminta untuk memberikan moratorium atau penangguhan pembayaran sehingga 6 bulan kepada peminjam daripada membayar pinjaman. Pada masa yang sama, Kerajaan Kebawah Duli Tuanku memberi perhatian agar pelaksanaan pelan pemulihan ekonomi yang dilaksanakan tidak akan memberikan kesan negatif kepada alam sekitar dengan memastikan pelaksanaan aktiviti ekonomi adalah selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari, atau Sustainable Development Goals. Selain itu, kerajaan Kebawah Duli Tuanku juga memberi penekanan terhadap usaha pendigitalan Malaysia atau digitalization of Malaysia dalam bidang-bidang ekonomi, pentadbiran, pendidikan, sosial dan sebagainya.
Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik pohon diampun,

13. Patik bersama Anggota Pentadbiran negara komited untuk membawa negara kembali kepada keadaan normal, di mana rakyat bebas bergerak, perindustrian dan perniagaan berjalan dengan lancar, hasil pertanian dan komoditi dapat dituai dan dijual, anak-anak kembali ke sekolah atau universiti untuk belajar, aktiviti sukan dan riadah dapat dilaksanakan dan sebagainya.



14. Dalam hal ini, Kerajaan Kebawah Duli Tuanku akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan program dan projek yang akan membawa kebaikan kepada rakyat dan negara. Program bagi meningkatkan lagi peluang-peluang pekerjaan, keboleh pasaran graduan dan mengutamakan rakyat tempatan akan terus dipertingkatkan. Keselamatan negara daripada ancaman sama ada dari dalam mahupun daripada luar juga akan terus diperkukuh. Ia selaras dengan titah Kebawah Duli Tuanku betapa penting kedaulatan pertiwi terus dijaga. Tidak ketinggalan juga Kerajaan Kebawah Duli Tuanku akan meneruskan agenda memperkasakan integriti dan tadbir urus di semua peringkat pentadbiran termasuk dalam kalangan rakyat.

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik pohon diampun,

15. Tahun ini, tema ‘Malaysia Prihatin’ telah dipilih sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia. Logo tahun ini pula adalah berbentuk hati dengan warna Jalur Gemilang yang melambangkan keprihatinan Kerajaan dan semangat kebersamaan rakyat Malaysia dalam menghadapi pelbagai dugaan ketika ini. Semangat “Malaysia Prihatin” perlu disemarakkan untuk rakyat negara ini mengukuhkan perpaduan untuk bersama-sama mengeluarkan negara daripada ancaman pandemik COVID-19.

16. Disimpulkan kata, sekali lagi patik mewakili pihak pentadbiran dan rakyat, mengangkat dan merafak setinggi-tinggi sembah tahniah sempena Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Tuanku dan pada masa yang sama menzahirkan rasa bangga dan betapa beruntungnya dinaungi oleh Kebawah Duli Tuanku. Semestinya raja dan rakyat akrab di mata, sehati di jiwa, menjadi lambang kemegahan sebuah nusa.

17. Mudah-mudahan Malaysia dipagari daripada segala mara bahaya, dibalut dengan berakah, diberi ketenteraman dan dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan rezeki yang berpanjangan.

Istana Negara tempatnya tenang,
Tuanku bersemayam di singgahsana,
Walau apa dugaan mendatang,
Raja dan rakyat berpisah tiada.

Ampun Tuanku Seri Paduka,
Sembah takzim menjunjung tinggi,
Semoga karar di atas takhta,
Doa rakyat setulus hati.

18. Semoga Allah Subhanahu Wa Ta’ala mengurniakan kesihatan yang baik dan melanjutkan usia Kebawah Duli Tuanku serta Raja Permaisuri Agong. Amin, amin, amin ya Rabbal Alamin.

Daulat Tuanku.
Daulat Tuanku.
Daulat Tuanku.
Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.