ALOR SETAR: Polis menahan tujuh suspek termasuk seorang wanita warganegara Thailand selepas disyaki terlibat dalam kes tembakan ke arah kenderaan yang dipandu komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Bukit Kayu Hitam, pada Rabu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, kesemua mereka yang berusia antara 22 hingga 52 tahun itu ditahan dalam empat serbuan di sekitar kawasan Bukit Kayu Hitam menerusi operasi bersepadu bermula 10.30 pagi hingga 6 petang pada hari yang sama.
Advertisement
Menurut beliau juga, kesemua suspek berkenaan tinggal berdekatan lokasi kejadian dan mengenali antara satu sama lain.
Tambah Adzli, dua daripada tujuh suspek terbabit mempunyai kesan ‘gunshot residue’ (GSR) iaitu rembesan tembakan daripada senjata api di bahagian tangan dan pipi.
Tegas beliau, kesan GSR turut dikesan pada kunci dan topi keledar motosikal yang dipercayai digunakan ketika melakukan jenayah berkenaan.
Bagaimanapun, senjata yang digunakan itu masih belum ditemui buat masa ini.
"Kita telah bawa ke mahkamah untuk permohonan reman.
"Daripada tujuh orang ini lima kita dapat reman selama empat hari, satu warga asing kita reman di bawah Akta Imigresen selama 14 hari untuk kita semak ketulenan dokumen perjalanan dia dan juga satu lagi kita dapat reman hanya dua hari, pagi ini kita akan sambung reman. Tangkapan ini kita buat berdasarkan risikan inteligence dan ada asas yang kukuh," jelas beliau.
Adzli berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, pada Jumaat.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, hasil semakan turut mendapati empat daripada tangkapan itu mempunyai rekod jenayah lampau yang melibatkan jenayah berat melibatkan penyeludupan, jenayah terancang dan mendatangkan cedera parah.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan suspek yang melepaskan tembakan ke arah kenderaan komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Bukit Kayu Hitam, Kedah semalam berjaya ditahan dalam tempoh kurang 24 jam.
Beliau berkata, proses soal siasat terhadap suspek sedang dilakukan ketika ini.
Pada Rabu, kereta Proton X70 dipandu SAC Mohd Nasaruddin Mohd Nasir ditembak pada 5.40 pagi di susur masuk Masjid Muhajirin, Bukit Kayu Hitam, kira-kira satu kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand.