Kerajaan negeri Kedah ketika ini sedang menunggu keputusan muktamad dari pihak Majlis Keselamatan Negera (MKN) berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat secara Pentadbiran (TEMCO) di daerah Kota Setar yang dijadualkan berakhir pada Jumaat.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan, antara kemungkinan yang akan diputuskan MKN adalah penamatan tempoh TEMCO, lanjutan tempoh TEMCO, serta pelaksaan lanjutan secara bersasar di beberapa mukim yang terlibat.

Beliau menjelaskan pihaknya juga telah mengemukan beberapa cadangan mengenai syorkan berkenaan kepada pihak MKN, namun perkara terbabit perlu dirahsiakan kepada umum.

"Kita serah kepada MKN untuk putuskan... pertama sekali penamatan, yang kedua pelanjutan, yang ketiga pelanjutan dengan bersasar, yang itu keputusan yang kita boleh buat.

"Tetapi saya tak boleh maklumlah apa dia kita nak syorkan itu, itu rahsia. Kemungkinan itu saya tidak boleh jawab, itu akan diputuskan di peringkat persekutuaan mengambil kira semua faktor yang ada di Kedah ini," katanya.

Muhammad Sanusi berkata demikian ketika ditemui media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) berkaitan COVID-19 di Pejabat Daerah Kota Setar pada Khamis.

Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan pihak kerajaan negeri juga telah mengagihkan 6,500 bungkusan makanan asas kepada penduduk yang telah menghubungi talian hotline Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).

Bantuan berkenaan juga turut diagihkan kepada 88 buah rumah di Flat Tongkang Yard, Alor Setar yang ditutup pada Rabu susulan penularan COVID-19.

BACA: Kedah tidak berhasrat sambung tempoh TEMCO di Kota Setar - MB

Terdahulu,kerajaan telah mewartakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan secara pentadbiran (TEMCO) di daerah Kota Setar, Kedah ekoran peningkatan kes membabitkan kluster Sungai dan Telaga di lokasi berkenaan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD ini akan dikuatkuasakan mulai 11 September pukul 12.01 tengah malam hingga 25 September 2020 sebagai sebahagian dari langkah pencegahan penularan COVID-19.