KUALA LUMPUR: Selepas lebih 40 hari memegang jawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bakal tampil dalam satu temu bual khas bersama tiga stesen televisyen utama.

Temu bual khas yang diadakan di Pejabat Perdana Menteri ini menyentuh banyak perkara tentang pentadbirannya.

Menerusinya, Perdana Menteri mengulas tentang konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkannya merentasi agama dan bangsa.

Selain itu, beliau turut menyentuh mengenai Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dibentangkannya di Dewan Rakyat pada 27 September lalu.

Ismail Sabri turut menyentuh kerjasama bipartisan yang diusahakan beliau hingga termeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang.

MoU ini merupakan satu sejarah baru dalam landskap politik negara dan berjaya beliau usahakan dalam tempoh tidak sampai sebulan menggalas jawatan perdana menteri.

Menerusi temu bual khas yang akan disiarkan di semua stesen televisyen utama tempatan, Perdana Menteri juga menyentuh perkara yang ditunggu-tunggu seluruh rakyat iaitu kebenaran rentas negeri dan isu My Travel Pass.

Ismail Sabri juga menjelaskan tentang Indeks Prestasi Utama (KPI) beliau sebagai perdana menteri kesembilan, apa yang perlu beliau lakukan dan capai.

Temu bual khas ini dikendalikan Cynthia Ng dari Astro AWANI, Terrence Joseph Dass (RTM) dan Azaria Tagaya (TV3).

Astro AWANI akan menyiarkan temu bual khas ini di Saluran 501 dan semua platform digital kami pada pukul 9 malam nanti.