KUALA LUMPUR: Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan rasa dukacita, kecewa dan marah terhadap insiden kekejaman terhadap haiwan peliharaan serta haiwan terbiar, khususnya anjing dan kucing, yang masih berlaku dan tular kebelakangan ini.
Baginda yang juga Penaung Diraja inisiatif Stray Free Selangor (SFS) di bawah kelolaan SPCA Selangor menegaskan, perbuatan menyiksa, mencederakan, membunuh atau melayan haiwan secara kejam bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mencerminkan kegagalan mempertahankan nilai belas ihsan dan kemanusiaan yang menjadi asas kepada masyarakat bertamadun.
“Tiada sebarang bentuk kekejaman terhadap haiwan akan diterima atau ditoleransi, tidak kira siapa pelakunya, apa jua jawatannya, bangsa, agama mahupun alasan yang diberikan.
“Pendirian ini terpakai kepada semua pihak sama ada individu, organisasi, syarikat, agensi kerajaan atau pihak berkuasa. Tiada sesiapa berada di atas undang-undang,” titah baginda menerusi kenyataan yang dikeluarkan Istana Alam Shah, hari ini.
Tengku Permaisuri Norashikin turut menegaskan bahawa setiap kes kekejaman terhadap haiwan perlu disiasat secara menyeluruh dan tindakan undang-undang sewajarnya perlu diambil tanpa pengecualian, termasuk jika melibatkan anggota atau pegawai penguat kuasa.
Titah baginda, keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan hanya dapat dipelihara sekiranya setiap tindakan dilaksanakan secara profesional, berintegriti dan penuh belas ihsan, bukannya melalui pendekatan yang mengundang penderitaan kepada haiwan.
Sehubungan itu, baginda mengulangi gesaan agar kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi berkaitan dan masyarakat berganding bahu membina komuniti yang berteraskan nilai ihsan terhadap semua haiwan.
Baginda bertitah, kerjasama erat antara kerajaan, PBT, pertubuhan kebajikan haiwan dan masyarakat perlu terus diperkukuhkan bagi membudayakan sifat penyayang menerusi usaha penyelamatan, rawatan, pengurusan dan perlindungan haiwan secara berperikemanusiaan.
Pada masa sama, Tengku Permaisuri Norashikin menyeru supaya kebajikan haiwan dijadikan sebahagian daripada agenda membentuk masyarakat yang lebih bertanggungjawab, prihatin dan bertamadun, selain memastikan nilai belas ihsan diterapkan dalam setiap dasar serta tindakan berkaitan pengurusan haiwan.
Baginda turut menekankan bahawa kesedaran mengenai kebajikan haiwan perlu dipupuk sejak usia muda melalui pendidikan, kempen kesedaran awam dan penglibatan komuniti, selaras dengan slogan “Compassion. Care. Community.”
“Setiap kebaikan yang dilakukan terhadap haiwan membawa makna dan setiap nyawa berhak dihargai. Marilah kita membina sebuah negeri di mana setiap haiwan dilindungi, dihormati dan diberikan layanan yang bermaruah,” titah baginda.
Titah baginda, cara manusia melayan haiwan mencerminkan nilai kemanusiaan sesebuah masyarakat.
“Sebuah masyarakat yang gagal menunjukkan belas ihsan kepada makhluk yang paling lemah akhirnya akan kehilangan nilai belas ihsan terhadap sesama manusia.
“Justeru, semua pihak diharap mengambil iktibar daripada insiden yang berlaku dan bersama-sama memastikan Selangor terus menjunjung nilai ihsan, keadilan dan tanggungjawab terhadap semua makhluk ciptaan Allah SWT,” titah baginda.
Dalam pada itu, Tengku Permaisuri Norashikin turut menyeru Kerajaan Persekutuan supaya mengkaji semula hukuman di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 bagi memastikan tindakan terhadap pesalah kekejaman haiwan diperketat dan dikuatkuasakan secara lebih konsisten.
“Sifat belas ihsan bukan tanda kelemahan. Sebaliknya, keupayaan melindungi makhluk yang paling lemah adalah ukuran sebenar kekuatan, kematangan dan ketamadunan sesebuah masyarakat,” titah baginda.