KUALA LUMPUR:Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memaklumkam beliau negatif jangkitan COVID-19.

Beliau membuat pengumuman tersebut menerusi satu hantaran di laman Instagram peribadinya pada Selasa.

“Pagi ini (Selasa) saya telah menerima keputusan ujian saringan COVID-19. Alhamdulillah, keputusannya negatif,” kata Tengku Zafrul.

Dalam hantaran sama, Tengku Zafrul memaklumkan beliau akan berada di rumah untuk menjalani pemantauan kesihatan kendiri.



“Tugasan dan komitmen kerja juga akan diteruskan dari rumah. Terima kasih semua atas doa dan ucapan selamat,” ujarnya.

Pada Isnin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri disahkan positif jangkitan COVID-19.

Susulan pengumuman berkenaan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil keputusan untuk menjalani kuarantin kendiri di kediaman beliau selama 14 hari mengikut nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).


Muhyiddin berkata, beliau mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dihadiri Dr Zulkifli dan beberapa anggota Kabinet serta pegawai tertinggi kerajaan pada 3 Oktober lalu.

BACA: COVID-19: Hadir mesyuarat khas MKN, Dr Noor Hisham kuarantin wajib

Anggota Kabinet lain yang turut hadir termasuk Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan Kerja Raya (Datuk Seri Fadillah Yusof), Menteri Kanan Pendidikan (Dr Radzi Jidin), Menteri Kesihatan (Datuk Seri Dr Adham Baba) dan menteri-menteri berkaitan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara berkenaan COVID-19 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada Sabtu lalu, 3 Oktober.




Turut hadir pada mesyuarat tersebut juga ialah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah; Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang.



Setakat ini, Ismail Sabri dan Dr Noor Hisham telah membuat keputusan untuk menjalani kuarantin kendiri di rumah.