MALAYSIA
Teo seru semua pihak terus beri sokongan kepada misi kemanusiaan GSF

Teo bercakap kepada media selepas Majlis Penutupan First Ever Corporate Social Responsibility (CSR) Run Event - Run For The Future 2025 di Hutan Bandar Kulai hari ini. - Foto Bernama
KULAI: Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza yang disertai sukarelawan negara baru-baru ini membawa mesej keamanan dan kemanusiaan sekali gus menyeru semua pihak supaya memberikan sokongan padu terhadap usaha mereka itu.
Ringkasan AI
- Misi Global Sumud Flotilla (GSF) bawa mesej keamanan dan kemanusiaan, dengan kerajaan menyeru semua pihak memberi sokongan penuh kepada usaha membantu rakyat Palestin.
- Kerajaan hargai semangat sukarelawan dan bantuan Turkiye, yang memastikan keselamatan aktivis Malaysia dalam misi memecahkan sekatan Israel dan menghantar bantuan ke Gaza.
- 23 sukarelawan Malaysia dijangka pulang dari Istanbul seawal Isnin, selepas menyertai flotila bersama lebih 500 aktivis dari 45 negara.
"Berkenaan menurunkan kandungan sensitif berkaitan GSF di laman sosial, saya tiada maklumat. Dalam hal ini, biarlah kita sama-sama menyokong, bukan membahaskan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penutupan Program Corporate Social Responsibility (CSR) Run Event - Run for The Future 2025 di Hutan Bandar Kulai, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai komen dan hantaran jelik yang menyentuh sensitiviti berkaitan dengan misi kemanusiaan GSF di laman sosial.
Dalam pada itu, Teo turut menyatakan penghargaan kepada semua agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam menjayakan misi GSF serta kerajaan Turkiye atas bantuan logistik dan diplomatik dalam memastikan keselamatan sukarelawan Malaysia.
Katanya, semangat perpaduan dan nilai kemanusiaan yang dizahirkan melalui misi flotila itu selaras dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan kepedulian sejagat dan solidariti kemanusiaan tanpa sempadan.
Semalam, media melaporkan 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi GSF dijangka tiba di tanah air seawal Isnin ini. Mereka akan menaiki penerbangan komersial Turkish Airlines dari Lapangan Terbang Istanbul.
GSF disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel, sambil menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami