SHAH ALAM: Pengamal media sama ada tradisional atau digital perlu berpegang kepada tiga prinsip utama iaitu Dasar Keselamatan Negara (DKN), Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara dalam melaporkan sesuatu berita bagi mengelak timbulnya isu sensitif.

Pensyarah Komunikasi Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, semua pihak terutamanya pengamal media perlu kembali kepada pemahaman asas dalam laporan mereka.

Malah katanya, di dalam DKN 2021/2025 juga ada menekankan tentang aspek keselamatan negara.

“Antara perkara yang perlu difahami oleh semua pengamal media adalah memastikan kesejahteraan negara sentiasa diberi keutamaan melalui pendekatan keselamatan menyeluruh.

“Apabila berbicara perihal keselamatan tersebut, ia merupakan konteks untuk menjaga negara secara bersama seperti yang terkandung di dalam DKN kerana pada akhirnya perkara itu akan lebih mudah untuk dilakukan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Pada masa sama, beliau turut menegaskan perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara juga perlu difahami dengan jelas oleh pengamal media sebelum menyampaikan sesuatu berita.

“Kita perlu ingat, Perlembagaan Persekutuan adalah satu payung atau teras bagi memelihara kestabilan negara dan undang-undang juga dibuat berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara.

“Jangan cuba untuk mengubah asas pembentukan negara dan perkara yang boleh menjejaskan isu yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya berhubung isu kaum, bangsa dan agama,” jelasnya.

Tambah beliau, Perkara 10 Perlembagaan yang memperuntukkan hak kebebasan bersuara juga perlu difahami.

Ujarnya, orang ramai perlu tahu bahawa negara ini mempunyai pelbagai agama, kaum dan bangsa namun jangan sesekali lupa bahawa Islam adalah agama rasmi persekutuan.

Jelasnya, Perkara 11 Perlembagaan meletakkan bahawa Islam adalah agama yang tidak boleh digunakan oleh pihak lain dalam pelbagai perkara.

“Jadi kita juga harus tahu bahawa hak asasi sesebuah negara perlu dibaca bersama Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

“Sekiranya kita membaca hak asasi dalam bentuk keterbukaan, kebaratan, menyeleweng daripada hak sebenar asasi dalam negara. Ia akan menimbulkan satu konflik antara agama, bangsa dan negara,” tegasnya.

Dalam pada itu, Noor Nirwandy memaklumkan pihak bertanggungjawab perlu berani jika mahu membina acuan negara dalam komposisi Rukun Negara seperti dilakukan Indonesia melalui Pancasila.

“Jika barat dijadikan sebagai panduan maka ia terdedah kepada keterbukaan dan akhirnya menjejaskan silang kaum, budaya dan agama di dalam negara,” tambahnya.

Kredibiliti media tidak boleh dipandang enteng

Sementara itu, ahli politik perlu muhasabah diri sebelum menuduh pengamal media sengaja memainkan isu sensitif khususnya berkaitan kaum dan agama.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya berkata, kredibiliti pihak media tidak boleh dipandang enteng kerana mereka sendiri bertanggungjawab ke atas sebarang berita yang dilaporkan.

Ujarnya, tindakan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang itu disifatkan tidak wajar selain menimbulkan lagi persoalan selepas mengeluarkan amaran keras kepada pengamal media supaya berhenti meniup api bagi isu berkaitan program Jom Ziarah yang digerakkan oleh Projek Artikel 11.

“Bagi saya senang, media melaporkan perkara yang berlaku berdasarkan apa dinyatakan oleh semua pihak.

“Pendirian saya, kalau ada yang tidak kena dengan projek itu maka menteri itu perlu teliti dan selidik apa yang sebenarnya harus dilaksanakan sama ada berita dilaporkan media itu betul atau tidak.

“Jadi, menteri itu perlu muhasabah diri tetapi jika ada tidak kena, minta ruang untuk perbetulkan semula,” katanya. - Sinar Harian