EMPAT kes positif COVID-19 dikesan dari penerbangan yang disewa khas untuk membawa pemain tenis, jurulatih dan pegawai ke Melbourne, bagi menyertai kejohanan Terbuka Australia.

Susulan itu, 47 pemain terpaksa menjalani kuarantin ketat di hotel, menurut laporan AP.

Tiga kes positif disahkan pada Sabtu sementara satu lagi kes pada Ahad. Setakat ini, tiada pemain yang terlibat.

Bagaimanapun, pemain-pemain yang menaiki dua penerbangan - dari Los Angeles dan Abu Dhabi - dikenakan kuarantin 14 hari dan tidak dibenarkan keluar bilik hotel atau menjalani latihan, menurut pihak berkuasa pada Sabtu.

Terbuka Australia dijadual bermula 8 Februari.

Pihak berkuasa kesihatan berkata, dua kes positif COVID-19 dikenal pasti dalam penerbangan dari Los Angeles.

Kes positif ketiga pula ialah dalam penerbangan dari Abu Dhabi, menurut penganjur kejohanan, Tennis Australia.

Sylvain Bruneau, jurulatih pemain Kanada Bianca Andreescu, berkata dia dikesan positif ketika tiba dari Abu Dhabi. "Mereka yang lain dalam pasukan saya semuanya negatif."

Bagi kes keempat, pesuruh jaya kuarantin negeri Victoria Emma Cassar memberitahu media, ia melibatkan seorang anggota pasukan penyiaran yang telah dihantar pulang ke Los Angeles. 

Terdahulu, pihak berkuasa mengatakan semua penumpang dari penerbangan Los Angeles akan menjalani kuarantin di hotel selama 14 hari.

"Semua 66 penumpang lain dalam penerbangan tersebut telah dikenal pasti sebagai kontak rapat," menurut jabatan kesihatan negeri Victoria dalam satu kenyataan.

"Tiada pemain atau pegawai sukan yang akan dibenarkan meninggalkan kuarantin untuk mengikuti latihan.

"Semua kru penerbangan telah diuji negatif dan dibenarkan terbang tanpa penumpang untuk terus pulang."

Tennis Australia mengesahkan terdapat 24 pemain dalam penerbangan dari Los Angeles dan 23 dalam penerbangan dari Abu Dhabi.

Dua penerbangan itu merupakan antara 17 pesawat yang disewa khas untuk membawa 1,200 pemain tenis, jurulatih, kakitangan dan pegawai ke Australia untuk kejohanan tersebut, dari tujuh destinasi antarabangsa.

Kesemua empat kes telah diuji negatif sebelum menaiki kapal terbang ke Australia.