KUALA LUMPUR: Terdapat keperluan untuk menubuhkan jawatankuasa bagi mengkaji dan mengawal selia sebarang rang undang-undang baharu yang akan dibawa ke Parlimen oleh badan eksekutif atau pentadbiran bagi memastikan ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata ini juga adalah sebahagian daripada usaha untuk memperkasakan peranan Parlimen.

"Jawatankuasa itu akan mengkaji rang undang-undang secara terperinci walaupun perkara itu telah dikaji di peringkat Jabatan Peguam Negara dan pihak kerajaan tetapi kami masih mendapati ada dasar kerajaan yang tidak konsisten," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata terdapat undang-undang yang diluluskan selepas kemerdekaan hingga kini yang tidak selari dengan kehendak Perlembagaan dan menyifatkan undang-undang itu tidak berkesan.

Dalam pada itu, beliau berkata perkara itu telah dibincangkan bersama Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan perancangan mengenai keperluan itu juga telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya telah mendapatkan kata sepakat bahawa saya akan menerajui kajian teknikal berhubung apa yang saya nak buat. Selepas itu, kajian teknikal yang telah siap itu akan dibawakan ke dalam satu jawatankuasa yang sama di peringkat Parlimen.

"Jawatankuasa itu akan dipengerusikan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara bersama wakil daripada Dewan Rakyat dan Dewan Negara, wakil penasihat undang-undang dan wakil kerajaan yang relevan," katanya.

Terdahulu, Wan Junaidi hadir pada program Ruang Bicara bertajuk "Memperkasa Legislatif, Memelihara Keseimbangan Kuasa" terbitan Bernama TV yang disiarkan malam ini.

-- BERNAMA