Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Teresa Kok didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini berhubung penyiaran video kontroversi Tahun Baru Cina bertajuk ‘Onederful Malaysia’.

Ahli Parlimen Seputeh berbaju kurung merah itu mengaku tidak bersalah atas dakwaan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan kelihatan tersenyum sebaik mendengar pendakwaan.

Kok didakwa memuatnaik video tersebut di laman YouTube pada pukul 9 pagi, 1 Februari 214 di sebuah apartmen di Bangsar, yang dikatakan mempunyai kandungan berbaur menghasut.

Jurubahasa mahkamah membaca transkrip bahasa Melayu beberapa bahagian di dalam klip video tersebut yang didakwa menghasut: termasuk jenaka yang mengatakan Malaysia sebagai sebuah negara yang berbahaya, pencerobohan Lahad Datu dan pendidikan.

Hakim Mahkamah Sesyen Norshahidah Awang menetapkan ikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin, dan menetapkan 9 Jun sebagai tarikh sebutan serta perbicaraan akan bermula pada 2 hingga 5 September.

Timbalan Pendakwa raya Muhamad Iskandar mengetuai pasukan pendakwaan dibantu P Viknesvaran.

Pihak pendakwa raya berkata antara 10 hingga 15 saksi bakal memberi keterangan untuk kes mereka.

Pasukan pembelaan Kok pula terdiri daripada Datuk Param Cumaraswamy, Sankara Nair, Datuk Yusof Zainal Abiden, Gobind Singh Deo, dan Aaron Lee.

Jika disabit kesalahan, Kok boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Bekas exco kerajaan Selangor itu mendapat kritikan hebat ekoran penyiaran video itu yang dikatakan menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam klip video berdurasi hampir 12 minit itu, Kok berlakon sebagai pengacara yang menemu ramah tiga tetamu mengenai Feng Shui pada Tahun Baharu Cina.

Beliau dalam satu kenyataan kepada Astro AWANI ketika kontroversi klip video itu meletus menjelaskan ia hanyalah satu video sindiran jenaka.