Hutan Simpan Ayer Hitam atau lebih dikenali dengan Bukit Wawasan Puchong, merekodkan kawasan paling tinggi pendaki sesat di seluruh negara.

Sehingga Oktober tahun in sahaja, sebanyak 25 kes pendaki sesat telah dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Menurut Pegawai Cawangan Pengurusan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), PgKB II Alimaddia Bukri, walaupun kawasan itu tidak dibuka kepada orang awam, namun masih ramai ingkar dan tidak mempedulikannya semata mata untuk menyaksikan sendiri keindahan 'Blue Lagoon' yang terdapat di situ.

"Kawasan situ ada 'Blue Lagoon' yang cantik. Kebanyakan yang sesat ini apabila mereka tiba ke kawasan itu, mereka terpegun dan mereka mencari kawasan yang lebih cantik dengan terus berjalan di semak samun sehingga sesat.

"Dengan tidak membuat persiapan rapi termasuk mengetahui selok belok jalan, mereka tidak dapat mencari jalan keluar dan akhirnya memaksa untuk mendapatkan bantuan," kata Alimaddia ketika ditemubual dalam program Awani Pagi pada Rabu.

Menurut Alimaddia Bukri, masih ramai pengunjung yang tidak mengendahkan soal keselamatan di Blue Lagoon.

Hutan Simpan Ayer Hitam yang dimiliki Universiti Putra Malaysia (UPM) itu bagi tujuan penyelidikan dan bukan dikategorikan sebagai hutan rekreasi.

"Saya pasti Jabatan Hutan dan agensi kerajaan lain melakukan yang terbaik untuk mengekang individu daripada menceroboh, namun dengan perasaan ingin tahu yang tinggi dalam kalangan pendaki membuatkan mereka memasukinya sehingga memberi risiko," ujar beliau lagi.

Tambah Alimaddia, sehingga Oktober tahun ini sebanyak 219 kes pendaki sesat dilaporkan di seluruh negara dengan 13 kematian dicatatkan.

Daripada angka berkenaan, pendakian di bukit mencatatkan jumlah tertinggi berbanding di gunung.

Ini, kata beliau, berikutan kekurangan persiapan termasuk fizikal dan mental serta tiada juru iring yang mahir.

JBPM ,jelasnya, sentiasa bersiap siaga dalam menjalankan kerja pencarian dan penyelamatan (SAR) tidak mengira di mana serta waktu dilaporkan hilang.