Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali menyatakan rasa bangga kerana disamakan dengan calon Presiden Amerika Syarikat dari Parti Republikan, Donald Trump.

Menurut Ibrahim, kenyataan yang menyamakan beliau dengan Trump disifatkan sebagai bukti bahawa beliau seorang yang berterus terang, tidak hipokrit dan tidak berbelit dalam menyatakan pendirian.

"Maknanya saya setaraf dengan calon Presiden Amerika. Ini juga membantu meningkatkan nama negara Malaysia menjadi lebih terkenal.

"Trump adalah tokoh tidak hipokrit dan saya Ibrahim Ali sudah lama guna motto perjuangan anti hipokrit," katanya dalam satu kenyataan ringkas.

Reaksi Ibrahim itu sebagai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang menggambarkan Trump sebagai 'Ibrahim Ali Amerika'.

Nur Jazlan berkata demikian ketika merasmikan program belia anjuran Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS).

Ibrahim turut mengucapkan terima kasih kepada Nur Jazlan kerana kenyataan tersebut.

"Saya ucap terima kasih kepada Datuk Nur Jazlan yang jelas, seorang yang pandai dan 'intelligent' membuat pilihan," ujarnya.