[TERKINI] Bekas PTD tiba di mahkamah, berdepan dua pertuduhan AMLATFPUAA
![[TERKINI] Bekas PTD tiba di mahkamah, berdepan dua pertuduhan AMLATFPUAA [TERKINI] Bekas PTD tiba di mahkamah, berdepan dua pertuduhan AMLATFPUAA](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2026-01/61769129132_polis.jpg)
Muhammad Hafizuddeain ketika tiba di Kompleks Mahkamah Shah Alam pada Jumaat. - Astro AWANI
SHAH ALAM: Bekas Panglima Tentera Darat (PTD) yang disiasat berkaitan rasuah serta salah guna kuasa tiba di Kompleks Mahkamah Shah Alam, di sini, pagi ini.
Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, yang berdepan dua pertuduhan, tiba pada pukul 8.29 pagi.
Bekas pegawai kanan tentera itu diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memasuki lobi mahkamah sebelum dibawa ke Mahkamah Khas Rasuah.
Pada Khamis, Muhammad Hafizuddeain mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat tuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram yang keseluruhannya berjumlah RM2.12 juta.
Kesemua tuduhan berkenaan yang didakwa dilakukan di antara 2 Februari 2024 dan 7 November tahun lalu.
Beliau ialah PTD pertama yang didakwa di mahkamah berhubung kes pengubahan wang haram berkaitan tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).
Muhammad Hafizuddeain yang menghantar surat untuk bersara daripada perkhidmatan tentera, bermula 1 Januari lalu, didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM969,000, RM474,850, RM488,550 dan RM190,000 yang dimasukkan ke dalam tiga akaun bank miliknya.
Kesemua kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di dua buah bank di tiga lokasi beebeza iaitu di Jalan Melaka, Jalan Tun Perak dan Bukit Damansara di sini, antara 2 Februari 2024 dan 7 November lalu.
Sehubungan itu, Muhammad Hafizuddeain didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Sementara itu, di mahkamah berasingan, isteri ketiganya, Salwani Anuar @ Kamaruddin, 27, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM77,000, 2024 dan tahun lalu.
Dia akan menghadapi satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Jertih, Terengganu pada Isnin ini
Pada 7 Januari lalu, bekas PTD bersama dua isterinya ditahan oleh SPRM berkait projek perolehan tender tentera darat dan keesokan harinya, pegawai itu direman selama tujuh hari, manakala kedua-dua isterinya masing-masing direman tiga dan enam hari.
Pada sidang akhbar, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan, sejumlah RM11.4 juta nilai barangan disita dari dua kediaman bekas PTD termasuk satu di rumah rahsia yang terletak di Kuala Lumpur.
Rampasan turut dilakukan di sebuah rumah di Besut, Terengganu dan sebanyak 75 akaun syarikat berjumlah RM32.5 juta turut dibekukan oleh SPRM.
Agensi penguat kuasa itu juga hadir ke Kementerian Pertahanan pada 23 Disember lalu, bagi memulakan siasatan awal terhadap beberapa projek membabitkan tentera darat sejak 2023.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


