PUTRAJAYA:
Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.5 peratus pada suku ketiga 2026, sederhana berbanding 6.0 peratus pada suku sebelumnya, disokong aktiviti pelaburan yang lebih kukuh, eksport bersih positif serta pertumbuhan berterusan penggunaan swasta.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi sembilan bulan pertama tahun ini mencapai 5.6 peratus, mengatasi 4.8 peratus yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu.
Dari segi prestasi sektor, pembuatan mengukuh kepada 7.7 peratus berbanding 7.3 peratus pada suku sebelumnya, dipacu industri berorientasikan eksport, khususnya produk elektrik, elektronik dan optikal yang berkembang 16.5 peratus susulan permintaan global terhadap komponen elektronik serta semikonduktor.
Sektor perkhidmatan pula berkembang 5.8 peratus, disokong aktiviti perdagangan borong dan runcit, selain subsektor maklumat dan komunikasi yang meningkat 8.7 peratus, didorong prestasi kukuh aktiviti pusat data.
Sementara itu, sektor pembinaan mencatatkan pertumbuhan 5.9 peratus, dengan subsektor bangunan bukan kediaman melonjak 16.7 peratus, khususnya menerusi projek pembinaan pusat data.
Sektor pertanian kembali pulih dengan pertumbuhan 1.4 peratus berbanding penguncupan 3.6 peratus pada suku kedua, disumbang peningkatan pengeluaran kelapa sawit.
Bagaimanapun, sektor perlombongan dan pengkuarian menguncup 6.1 peratus berbanding pertumbuhan 9.2 peratus sebelumnya, susulan penyusutan pengeluaran minyak mentah dan kondensat sebanyak 12.4 peratus.
Dari sudut perbelanjaan, penggunaan swasta yang menyumbang 60.6 peratus kepada KDNK berkembang 4.3 peratus, lebih perlahan berbanding 4.8 peratus pada suku sebelumnya.
Perbelanjaan isi rumah terus disokong kategori restoran dan hotel yang meningkat 10.4 peratus, diikuti pengangkutan sebanyak 7.0 peratus.
Aktiviti pelaburan pula menunjukkan peningkatan ketara apabila Pembentukan Modal Tetap Kasar (PMTK) berkembang 8.1 peratus berbanding 4.6 peratus pada suku kedua, dipacu pelaburan dalam struktur serta jentera dan kelengkapan.
Bagi perdagangan antarabangsa, eksport melonjak 25.2 peratus manakala import meningkat 26.7 peratus, mencerminkan permintaan global yang terus kukuh.
Eksport bersih turut mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 5.7 peratus.
Secara keseluruhan, ekonomi Malaysia terus mengekalkan momentum pertumbuhan positif, meskipun kadar pertumbuhan suku ketiga lebih sederhana, dengan pelaburan, industri berorientasikan eksport dan aktiviti berkaitan pusat data menjadi antara pemacu utama ekonomi negara.