KUALA LUMPUR: Program Mualim Muda Musim Kedua kembali dengan pendekatan lebih segar dalam menyampaikan dakwah kepada generasi muda menerusi gabungan ilmu, persembahan kreatif dan pengalaman lapangan.
Salah seorang tenaga pengajar, Dr Hafiz Haneefa, berkata peserta bukan sahaja dibimbing dalam aspek Al-Quran, hadis dan dakwah, malah didedahkan kepada pelbagai aktiviti kemasyarakatan bagi membentuk kefahaman yang lebih menyeluruh.
“Kita mempunyai guru-guru yang bertauliah. Mereka bukan sahaja belajar ilmu tetapi turut terlibat dengan aktiviti lapangan dan komuniti bagi memahami realiti masyarakat,” katanya.
Menurut beliau yang juga dikenali sebagai PU Hafiz, Mualim Muda musim kedua turut memberi penekanan kepada kemahiran penyampaian, penampilan diri serta pendekatan dakwah yang lebih dekat dengan masyarakat semasa.
Sementara itu, salah seorang peserta, Mualim Muda Aizuddin berkata cabaran terbesar yang dihadapi ialah menyampaikan pengisian dakwah yang kebiasaannya mengambil masa satu hingga dua jam dalam bentuk persembahan selama dua minit sahaja.
“Kita perlu memilih antara perkara yang penting dan yang lebih penting supaya mesej dapat disampaikan dengan berkesan,” katanya.
Dalam masa sama, Mualim Muda Syafiq menegaskan peserta berdepan pelbagai proses tapisan kandungan bagi memastikan mesej yang disampaikan menepati kehendak program serta mencapai standard ilmu yang ditetapkan.
Mengulas mengenai penggunaan AI dalam dakwah, Dr Hafiz berkata teknologi seperti ChatGPT boleh membantu mempercepatkan pencarian maklumat namun kesahihannya tetap perlu disemak melalui kitab dan sumber rujukan yang sah.
“AI sangat membantu tetapi kita kena semak semula. Jangan sampai kita bergantung sepenuhnya kepada AI tanpa melihat semula sumber asal,” jelasnya.
Tambah beliau, teknologi boleh dimanfaatkan dalam proses dakwah selagi penggunaannya tidak mengabaikan disiplin ilmu dan bimbingan guru.
Mualim Muda Musim Kedua bersiaran setiap Sabtu jam 9 malam di Astro Oasis dan Astro Prima.