MALAYSIA
TERKINI HAJI 2025: Pasukan Keselamatan Haji Arab Saudi pada tahap siap siaga tertinggi

Selain perarakan membabitkan petugas pelbagai agensi, turut dipertontonkan aset seperti kenderaan, jentera keselamatan serta peralatan canggih dimiliki. -Astro AWANI
MEKAH: Pasukan Keselamatan Haji Arab Saudi berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi dalam memastikan perjalanan ibadah haji musim 1446H/2025M, tidak terjejas.
Ringkasan AI
- Pasukan Keselamatan Haji Arab Saudi berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi bagi memastikan keselamatan 1.8 juta jemaah haji tahun ini, termasuk lebih 1.6 juta dari luar negara.
- Pelbagai aset keselamatan dan simulasi senario ancaman dipertontonkan dalam perarakan rasmi, menunjukkan kecekapan pasukan dalam menangani sebarang insiden.
- Ibadah haji 1446H/2025M dijangka berlangsung dalam cuaca panas ekstrem sehingga 45C, dan keselamatan serta keselesaan jemaah kekal menjadi keutamaan pihak berkuasa Arab Saudi.
Hadir sama, Menteri Dalam Negeri dan Pengerusi Jawatankuasa Haji Tertinggi, Putera Abdulaziz bin Saud bin Naif bin Abdulaziz untuk memeriksa tahap kesiapsiagaan Pasukan Keselamatan Haji dalam melaksanakan tugas lapangan, sekali gus memastikan keselamatan dan perlindungan jemaah haji.
Selain perarakan membabitkan petugas pelbagai agensi, turut dipertontonkan aset seperti kenderaan, jentera keselamatan serta peralatan canggih dimiliki.
Pada acara tersebut, turut mencuri tumpuan adalah simulasi pelbagai senario keselamatan yang menampilkan tahap kecekapan pasukan keselamatan dalam menangani dan mengendalikan ancaman.
Sebelum ini, Arab Saudi mengumumkan ibadah haji tahunan umat Islam ke Mekah akan bermula Rabu ini, dengan Hari Arafah pada Khamis, diikuti Aidiladha pada hari berikutnya.
Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Tawfiq Al-Rabiah melalui kenyataan dilapor berkata keselamatan jemaah semasa melaksanakan rukun Islam kelima itu kekal menjadi keutamaan, khususnya dengan jangkaan suhu maksimum mencecah 45 darjah Celsius.
Pihak Berkuasa Am bagi Statistik Arab Saudi melaporkan sejumlah 1,833,164 umat Islam dari seluruh dunia dijadual menunaikan ibadah haji tahun ini.
Daripada jumlah tersebut, 1,611,310 jemaah adalah haji luar, manakala jemaah tempatan 221,854 orang.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami