NATIONAL
Terkini Haji 2025: Tabung Haji tambah pendingin hawa, tingkat persediaan klinik

Mohd Hisham menyampaikan taklimat kepada wartawan mengenai persediaan Tabung Haji menjelang wukuf di Arafah. - Gambar Astro AWANI
ARAFAH: Walaupun kemudahan siap 95 peratus, namun, Tabung Haji meningkatkan lagi persediaan terutama di Arafah berikutan jangkaan suhu pada hari wukuf mencecah 50 darjah Celcius.
Menurut Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun, jumlah pendingin hawa juga ditambah untuk keselesaan jemaah haji ketika berada di dalam khemah.
Sebelum ini, kerajaan Arab Saudi menyarankan sekatan kawalan pergerakan dan menasihat jemaah berada di khemah masing-masing bermula jam 10 pagi hingga 4 petang.
“Bagi menangani masalah cuaca yang agak panas pada kali ini seperti tahun lepas iuga terdapat tambahan penghawa dingin untuk memastikan keselesaan dan supaya jemaah dapat berehat di dalam khemah.
“Kita juga memastikan minuman air mineral yang mencukupi untuk setiap jemaah kerana cuaca yang panas ini memerlukan mereka minum air lebih banyak,” katanya.

Mohd Hisham mengadakan tinjauan di khemah jemaah haji Malaysia di Arafah, pada Isnin.
Selain itu, jelas Mohd Hisham, setiap khemah mempunyai satu klinik, sama ada di Arafah atau Mina, sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan berkaitan kesihatan.
“Untuk makluman semua setiap khemah sama ada di Arafah ataupun Mina, kita mempunyai klinik dan
dianggotai pasukan perubatan kita.
“Sebagai langkah awal para doktor dan petugas perubatan akan ambil tindakan awal dan sekiranya ada keperluan untuk menghantar mereka ke hospital, kita ada sediakan ambulans untuk membawa ke hospital berdekatran,” katanya.
Setakat ini, katanya 62 jemaah haji mendapatkan rawatan.
Daripada jumlah itu, 57 jemaah sedang dirawat di Pusat Rawatan Tabung Haji dan baki lima jemaah lain di hospital Arab Saudi.
Sebilangan besar jemaah yang sedang menerima rawatan itu disebabkan masalah pernafasan dan berkaitan perut.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan) TH, Dr Hairul Izwan yang turut mengadakan tinjauan berkata, klinik yang disediakan pada musim ini lebih luas dan selesa.
“Kalau ada yang mengalami dehidrasi kekurangan air pertama sekali mereka dinasihatkan supaya minum mencukupi sepanjang berada di Masyair, di Arafah, Muzalifah dan Mina kerana kita khuatir suhu boleh mencecah 50 darjah Celsius,” katanya.
Bagaimanapun, jemaah haji juga boleh bertindak segera sekiranya jemaah lain menghadapi dehidrasi.
“Sekiranya kita mendapati pada bila-bila masa rakan kita mengalami dehidrasi kita boleh lakukan ialah hendak menurunkan suhu badan dengan banyak cara.
“Salah saru cara dengan kita ada semburkan air pada muka, kepala, leher dan di bawah ketiak atau seluruh badan,” katanya lagi.
Setakat ini seramai 25,331 jemaah Malaysia tiba ke Tanah Suci, iaitu 80 peratus dari kuota haji Malaysia.
Sementara, baki 16 penerbangan akan mendarat di Jeddah.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami