SEREMBAN: Pertemuan di antara Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dengan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap, di sini, selesai selepas berlangsung hampir tiga jam.
Pertemuan yang bermula sekitar jam 11 pagi itu menjadi tumpuan media yang ‘berkampung’ di hadapan Istana Hinggap sejak jam 10 pagi.
Bagaimanapun, usaha media mendapatkan penjelasan daripada Ismail selepas pertemuan berkenaan tidak berhasil apabila kenderaan yang membawa menteri besar itu dilaporkan keluar melalui laluan belakang istana dan tidak menggunakan pintu masuk utama yang menjadi lokasi media menunggu.
Pergerakan keluar dari Istana Hinggap itu turut menyaksikan kenderaan membawa Undang Luak Sungei Ujong Muhammad Faris Johari dan Undang Luak Rembau Hassan Ab Hamid meninggalkan kawasan berkenaan sekitar jam 1.50 petang.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi daripada Ismail berhubung hasil pertemuan dengan Tuanku Muhriz.
Sementara itu Hassan sempat membuka tingkap kenderaan ketika melalui laluan keluar dan menjawab pertanyaan media mengenai status pertemuan berkenaan.
“Tak selesai lagi,” katanya ringkas ketika diajukan sama ada perkara yang dibincangkan sudah selesai atau sebaliknya.
Pertemuan hari ini berlangsung ketika kemelut berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar, peranan Undang Yang Empat serta pentadbiran kerajaan negeri terus menjadi perhatian.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menggesa Ismail menghadap Tuanku Muhriz bagi membincangkan perkembangan semasa krisis yang turut menyentuh kedudukan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta tafsiran terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Ismail setakat ini masih kekal sebagai Menteri Besar, manakala pembatalan pelantikan 10 Exco telah menyebabkan struktur pentadbiran negeri berdepan situasi luar biasa.
Portal rasmi Kerajaan Negeri sebelum ini hanya memaparkan foto Ismail dalam bahagian Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri selepas gambar 10 anggota Exco berkenaan dipadamkan.
Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad yang turut terlibat dalam perjumpaan berkenaan memaklumkan pertemuan itu merupakan perjumpaan sulit dan pihaknya tidak mempunyai sebarang maklumat untuk dikongsikan berhubung perbincangan tersebut.
“Perjumpaan itu adalah satu perjumpaan dan juga perbincangan sulit. Saya di sini tidak akan memberikan apa-apa input kepada pihak media,” katanya ketika ditemui.
Mengulas mengenai aspek keselamatan mahu pun arahan kawalan sepanjang pertemuan itu, beliau berkata tanggungjawab pihak polis adalah kekal iaitu bagi memastikan keselamatan tanpa menunggu arahan daripada mana-mana pihak.
“Sebenarnya pihak polis ini tugas dan tanggungjawab kita adalah untuk menjaga keselamatan. Sama ada arahan daripada mana-mana pihak pun, keutamaan kita adalah berkenaan dengan keselamatan dalam negeri,” tambahnya.