KUCHING: Sebanyak 647 sekolah di Sarawak ditutup selama lima hari, dari 7 hingga 11 September, susulan keadaan jerebu yang masih tidak menunjukkan sebarang tanda pemulihan signifikan.
Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, Omar Mahli berkata, penutupan itu membabitkan 563 sekolah rendah dan 84 sekolah menengah di beberapa daerah.
Antaranya sekolah yang terletak di bawah pejabat pendidikan daerah (PPD) Kuching, Padawan, Bau, Lundu, Samarahan, Simunjan, Serian, Sri Aman, Lubok Antu, Kanowit, Julau dan Maradong.
Selain daripada daerah ini akan menjalani sesi persekolah seperti biasa.
"Keputusan ini dibuat selepas mesyuarat diadakan dan menerima pembentangan daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berhubung perkembangan keadaan cuaca serta jerebu.
"Hasil daripada pemantauan kita sepanjang minggu cuti persekolahan ini, keadaan sememangnya nampak tidak banyak berubah.
"Jadi kita telah memutuskan untuk menutup sekolah daripada 7 hingga 11 September untuk daerah-daerah yang terlibat," kata Omar dalam satu sidang media, di sini, pada Jumaat.
Setakat jam 4 petang, dua kawasan di Sarawak mencatatkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) pada paras bahaya iaitu IPD Serian (514) dan Kuching (313), menurut data Sistem Pengurusan Kualiti Alam Sekitar.