Ringkasan AI
- Semua institusi pendidikan bawah KPM di kawasan dengan bacaan IPU melebihi 180 akan ditutup bermula Jumaat ini bagi melindungi kesihatan warga pendidikan.
- Institusi pendidikan di kawasan dengan IPU melebihi 150 selama tiga hari berturut-turut turut diarahkan tutup bermula Isnin, 12 Oktober.
- Sesi pengajaran dan pembelajaran akan dilaksanakan dari rumah, dengan pemantauan berterusan oleh pihak berkuasa pendidikan dan nasihat Kementerian Kesihatan.
KUALA LUMPUR: Semua institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di kawasan yang mencatatkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) melebihi 180 perlu ditutup, bermula Jumaat ini.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Mohd Azam Ahmad berkata, penutupan itu bagi melindungi murid dan warga pendidikan daripada kesan jerebu terhadap kesihatan.
Jelasnya, KPM menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menekankan keselamatan dan kesihatan murid serta warga pendidikan susulan keadaan jerebu.
Menerusi kenyataan pada Khamis, KPM memaklumkan, bagi kawasan yang mencatatkan IPU melebihi 150 secara berterusan selama tiga hari, institusi pendidikan turut diarahkan ditutup mulai Isnin, 12 Oktober.
“Sekolah dan institusi pendidikan bawah KPM yang terjejas dikehendaki melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PDPR).
“Dalam tempoh pelaksanaan ini, pihak sekolah hendaklah memastikan kelangsungan proses pengajaran dan pembelajaran murid melalui kaedah yang bersesuaian dengan mengambil kira kemampuan, akses dan keperluan murid serta kesiapsiagaan guru,” katanya dalam kenyataan.
Dalam tempoh penutupan, guru dan anggota kumpulan pelaksana turut dibenarkan bekerja dari rumah tertakluk kepada pertimbangan Menteri Pendidikan.
“Pihak Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan institusi pendidikan di bawah KPM hendaklah membuat pemantauan secara berterusan dan mengambil tindakan sewajarnya apabila bacaan IPU melebihi paras yang dimaklumkan seperti di atas,” katanya.
Jelasnya, KPM akan terus memantau perkembangan ini selain mendapatkan nasihat Kementerian Kesihatan serta agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga pendidikan terpelihara, selaras titah Sultan Ibrahim.