Skip to main content

Malaysia

Gabungan diplomasi 'memujuk, menekan' jinakkan junta Myanmar - Penganalisis

Prof Azmi berkata, pertemuan antara Perdana Menteri dan Presiden Myanmar bukan sekadar protokol, tetapi satu 'paksaan halus' yang berjaya menyelesaikan isu tertunggak melibatkan ribuan pendatang Myanmar. -Gambar Bernama
Prof Azmi berkata, pertemuan antara Perdana Menteri dan Presiden Myanmar bukan sekadar protokol, tetapi satu 'paksaan halus' yang berjaya menyelesaikan isu tertunggak melibatkan ribuan pendatang Myanmar. -Gambar Bernama

Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia menangani krisis Myanmar menerusi seni diplomasi unik yang menggabungkan pujukan lembut dan tekanan strategik, ia dilihat berjaya membuahkan hasil konkrit setakat ini.

Felo Kanan Akademi Penyelidikan Nusantara NASR, Prof Dr Azmi Hassan berkata, pertemuan antara Perdana Menteri dan Presiden Myanmar bukan sekadar protokol, bahkan satu 'paksaan halus' yang berjaya menyelesaikan isu tertunggak melibatkan ribuan pendatang Myanmar.

Azmi memetik kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan dua hala Malaysia-Myanmar pada Khamis yang menegaskan fokus hubungan kini adalah pada perdagangan, pelaburan, pendidikan dan tenaga.

"Pendekatan ini merupakan alat untuk memaksa Myanmar mematuhi Konsensus Lima Perkara (5PC) iaitu pelan tindakan oleh pemimpin negara anggota ASEAN bagi menangani krisis politik dan kemanusiaan di Myanmar.

"Ada sedikit paksaan, sedikit memujuk. Jika ingin kembali ke pangkuan ASEAN, syarat integrasi dan demokrasi perlu diselesaikan dahulu.

"Jeneral Min Aung Hlaing percaya Malaysia adalah rakan ASEAN yang boleh dipercayai walaupun kita lantang mengkritik isu Rohingya. Kepercayaan ini dibina sejak tahun lepas," kata Azmi Hassan dalam satu temu bual bersama Astro AWANI, di sini, pada Khamis.

Tambah beliau, hasil daripada diplomasi ini, Myanmar bersetuju menanggung sepenuhnya kos penghantaran pulang (repatriasi) lebih 10,493 warganya, satu pencapaian yang jarang berlaku.

Walaupun bukan kuasa besar, kedudukan Malaysia sebagai tonggak ASEAN dan Global South memberi pengaruh besar untuk mendesak Myanmar kembali ke landasan demokrasi.

Must Watch Video

Advertisement