Ringkasan AI
- Pakatan Harapan dijangka bertanding antara 18 hingga 21 kerusi DUN pada PRN Melaka, tertakluk keputusan akhir pimpinan pusat.
- PH Melaka bersedia bertanding secara solo, bekerjasama dengan parti lain, atau membentuk gabungan lebih besar mengikut keputusan pimpinan pusat.
- Senarai calon PH sedang dimuktamadkan dan dijangka diumumkan dalam tempoh seminggu, dengan tarikh rasmi diselaraskan mengikut jadual Perdana Menteri.
MELAKA: Pakatan Harapan (PH) dijangka bertanding antara 18 hingga 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Pengarah Pilihan Raya PH Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau yang juga Menteri Besar Selangor berkata keputusan muktamad berhubung agihan kerusi itu bagaimanapun tertakluk kepada arahan pimpinan pusat, khususnya Majlis Presiden PH.
“Itu hampir pastilah. 18 paling kurang, 21 paling maksimum. Namun begitu, kalau keadaan terpaksa, mungkin kita bertanding 28 kerusi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Bilik Gerakan Utama PH Melaka di Bukit Baru di sini hari ini.
Hadir sama ialah Pengerusi PH Melaka Adly Zahari, Pengerusi DAP Melaka Khoo Poay Tiong dan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Melaka Datuk Ashraf Mukhlis Minghat.
Amirudin berkata PH Melaka bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan sama ada bertanding secara solo, membentuk kerjasama dengan parti lain atau gabungan lebih besar, bergantung kepada keputusan pimpinan pusat.
Mengenai pemilihan calon, Amirudin berkata senarai itu sedang dimuktamadkan oleh parti komponen masing-masing dan dijangka diumumkan dalam tempoh kira-kira seminggu lagi.
Beliau berkata tarikh pengumuman rasmi akan diselaraskan mengikut jadual Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH dengan notis diberikan sekurang-kurangnya tiga atau empat hari sebelum majlis itu.
Mengenai rundingan dengan Barisan Nasional (BN), Amirudin berkata perkara itu masih dalam pertimbangan pimpinan tertinggi dan beliau enggan membuat sebarang andaian awal sebelum keputusan rasmi dimuktamadkan.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka ke-16 manakala penamaan calon pada 31 Okt dan undi awal 10 Nov.
PRN Melaka pada 2021 menyaksikan BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN untuk membentuk kerajaan negeri manakala PH memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional dua kerusi.
-- BERNAMA