MALAYSIA
[TERKINI] Kes dana Armada: Syed Saddiq bebas hukuman penjara, sebatan dan denda RM10 juta
![[TERKINI] Kes dana Armada: Syed Saddiq bebas hukuman penjara, sebatan dan denda RM10 juta [TERKINI] Kes dana Armada: Syed Saddiq bebas hukuman penjara, sebatan dan denda RM10 juta](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-06/41750821720_AhliParlimenMuar.jpg)
Syed Saddiq (tengah) mengadakan sidang media selepas mahkamah melepas dan membebaskan beliau daripada hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta bagi empat pertuduhan berkaitan dana Armada. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini, hari ini melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta bagi empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Keputusan sebulat suara itu diputuskan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, iaitu Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.
Panel tiga hakim itu membuat keputusan sedemikian selepas membenarkan rayuan Syed Saddiq selaku perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini.
"Pihak pendakwaan gagal membuktikan bersubahat walaupun dalam kes prima facie."“Tindakan menyuruh, mengarahkan, atau memerintahkan seseorang untuk mengeluarkan wang tidak boleh dianggap sebagai pelupusan wang. Perbuatan mengeluarkan wang itu sendiri tidak memenuhi elemen actus reus (perlakuan fizikal jenayah),” kata hakim Datuk Noorin semasa membacakan hujahannya.
Prosiding hari ini dikendalikan oleh peguam bela Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Syed Saddiq selaku perayu serta Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Farah Ezlin Yusop Khan.
Pada 9 November 2023, Syed Saddiq memfailkan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Armada.
Syed Saddiq, 32, didakwa bersubahat bersama bekas Penolong Bendahari ARMADA, Rafiq Hakim Razali, yang diamanahkan dengan dana ARMADA berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.
Perbuatan terbabit didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri, iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang berkenaan.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu didakwa melakukan perbuatan terbabit di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di sini antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, hasil daripada aktiviti haram.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Bagi kesalahan itu, hukuman diperuntukkan mengikut Seksyen 4(1) akta sama, iaitu penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami